"Lagu mano nok raso selamat, kalu doh manusio namo pencuri ni makin bijok dari kito (Macam mana nak rasa selamat kalau pencuri ni makin bijak dari kita)," luah Muhamad Faiz Sazali yang bermastautin di pinggir Kota Bharu.

Katanya, kawasan tempat tinggalnya bukanlah kawasan perumahan mewah, namun tetap jadi sasaran jenayah seperti pecah rumah.

Di era moden ketika ini, menurut Muhamad Faiz, pencuri makin bijak hingga mengundang gusar bahawa langkah yang diambil mereka untuk menjaga keselamatan, tidak mencukupi.

Pemasangan jeriji besi, kunci mangga, malah kamera litar tertutup (CCTV) tidak boleh jadi jaminan kediaman mereka selamat.

"Kito kunci ikut pintu depan, dia (pencuri) masuk ikut pintu belakang, kita pasang jeriji besi, dia buka, saya pasang CCTV, dia potong wayar CCTV tu, apa nak buat, kita cuma jaga rumah kita," Muhamad Faiz berkongsi pengalaman.

Situasi-situasi ini jelas Muhamad Faiz, jadi punca dia belum berpuas hati dengan isu keselamatan.

Mohd Affean Ramzai memaklumkan dia dan penduduk komunitinya tidak berharap sepenuhnya kepada pihak berkuasa semata-mata. - Astro AWANI/Marlina Manaf
Biarpun statistik indeks jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan 16.37 peratus bagi tiga bulan pertama 2017, namun angka itu menurut penduduk belum cukup meyakinkan mereka tahap keselamatan berada di tahap memuaskan.

Kebimbangan ini juga yang diterjemah dalam Laporan Indeks Kesejahteraan Penduduk yang dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN).

Skor bagi negeri Kelantan berada pada tahap 7.32 iaitu berada pada skala sederhana daripada skor penuh 10.

Dua daripada domain utama yang menyumbang skor ini adalah Domain Keselamatan Penduduk (7.86), yang menunjukkan penduduk belum cukup yakin dalam isu keselamatan, berkaitan dengan kesejahteraan.

"Belum memuaskan, perlu diperketatkan, mungkin ada keperluan wujudkan lebih banyak pertubuhan sukarela untuk bantu pihak berkuasa dalam hal keselamatan," kongsi Mohd Hafizi Ismail, kakitangan swasta yang menetap di Jalan Langgar, Kota Bharu.

Mohd Hafizi berpendapat, mungkin ada keperluan wujudkan lebih banyak pertubuhan sukarela untuk bantu pihak berkuasa dalam hal keselamatan. - Astro AWANI/Marlina Manaf
Sementara itu, jururunding jualan, Mohd Affean Ramzai memaklumkan dia dan penduduk komunitinya tidak berharap sepenuhnya kepada pihak berkuasa semata-mata.

Sebaliknya, mereka mengambil inisiatif sendiri menubuhkan kumpulan sukarela, kerana maklum ketika ini ada kekangan dari segi anggota dan lokasi untuk pihak berkuasa bertindak.

Suara tiga penduduk ini sebenarnya hanya sebahagian daripada suara rakyat yang merasakan masih ada ruang untuk penambahbaikan apabila berkisar isu keselamatan.

Dan ini selari dengan dapatan kajian daripada Pasukan Penyelidik Universiti Malaya (UM) di kawasan parlimen Kuala Krai yang merumuskan isu keselamatan dan jenayah antara tiga isu utama yang akan jadi tumpuan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Cabaran perlu dihadapi calon bertanding adalah bagaimana memberi alternatif dan kaedah berkesan supaya persepsi dan kebimbangan rakyat mengenai isu keselamatan ini boleh ditangani.