JOHOR BAHRU: Seorang pengusaha stesen minyak didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan membenarkan pengisian petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing, 4 tahun lalu.

Ia juga adalah kes pertama seumpamanya membabitkan pemilik stesen minyak yang didakwa atas kesalahan terbabit.

Phan Chib Chan, 59 tahun mengaku bersalah atas kesalahan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut fakta kes, Chib Chan didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya yang terletak Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 Johor Bahru pada 13 Mei 2019, lebih kurang jam 10.40 pagi.

Dia didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 ke atas kereta jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura, sebanyak 54 liter bernilai RM113.30.

Perbuatan itu melanggar peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff.

Dalam penghujahannya, Raja Nor Iklas memaklumkan Orang Kena Saman (OKS) telah dua kali dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan sama.

Tertuduh diwakili peguam, Lim Chon Sin.