MALAYSIA
Bencana tanah runtuh di Sabah ragut 12 nyawa

Bencana tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas telah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak setakat ini. - Bernama
KOTA KINABALU: Bencana tanah runtuh yang melanda Sabah sejak Jumaat lepas telah meragut 12 nyawa termasuk lima kanak-kanak setakat ini, dengan 11 kematian dilaporkan hari ini dan satu kematian pada hari pertama kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda mengesahkan tujuh daripada mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemukan meninggal dunia selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam kira-kira 9.15 pagi tadi.
Beliau berkata mangsa kanak-kanak terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan berumur antara dua hingga sembilan tahun, manakala tiga lagi mangsa melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berumur 25 hingga 50 tahun.
Di PAPAR, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah Mohd Pisar Aziz memaklumkan dua mangsa terdiri daripada wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan maut selepas tanah runtuh menghempap rumah mereka di Kampung Mook pagi tadi.Mohd Pisar berkata dalam satu lagi kejadian, dua ditemukan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Marahang Tuntul.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan pada masa ini untuk mencari seorang lagi mangsa yang tertimbus dalam kejadian itu.
Pada Jumaat lepas, seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,648 mangsa daripada 417 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 863 orang daripada 220 keluarga pada petang tadi.
"Kesemua mangsa adalah penduduk 46 kampung di lima daerah terjejas. Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Penampang, tiga di Membakut dan masing-masing dua di Papar dan Putatan manakala pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon di Beaufort dibuka," katanya.
JPBN Sabah turut memaklumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan, manakala waris mangsa yang terkorban akibat bencana turut menerima BWI kematian sebanyak RM10,000.
SABAH-NYAWA (RANGKUMAN) 3 KOTA KINABALU
"BWI diberikan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA). Kerajaan turut menyalurkan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.
"Saya sangat terkesan akan dampak bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah saat ini. Saya telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
"Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera," menurut beliau.
SABAH-NYAWA (RANGKUMAN) 4 (AKHIR) KOTA KINABALU
Kerajaan Sabah pula mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka di sini malam esok, berikutan bencana yang sedang melanda.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bencana itu susulan hujan berterusan dan keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti terjejas.
"Saya telah memaklumkan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mengenai perkara itu. Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan," katanya.
Pada masa sama, Hajiji yang turun padang melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Putatan dan Penampang turut menyampaikan bantuan kepada mereka yang terkesan.
"Kerajaan negeri melalui JPBN sentiasa bersiap siaga dalam memberikan bantuan segera kepada rakyat yang berhadapan musibah, terutama ketika musim hujan berterusan. Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami