SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras langkah menangani kesan konflik di Asia Barat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu diadakan pada Jumaat bagi menilai impak meluas termasuk kesan rantaian bekalan dan ekonomi negeri.
Advertisement
“Sebentar tadi telah berlangsung jawatankuasa khas menangani krisis di Asia Barat. Kita juga telah menyenaraikan panel atau pakar-pakar yang kita akan libatkan dalam jawatankuasa tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, pada Jumaat.
Jelas beliau, kerajaan negeri tidak hanya memberi fokus kepada kesan bahan api, sebaliknya turut memantau rantaian bekalan yang lebih luas.
“Ini bukan hanya melibatkan bahan bakar seperti petrol, gas dan diesel tetapi juga baja, bahan untuk semikonduktor serta bekalan helium yang mempunyai kesan agak serius,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berasaskan data akan digunakan bagi menilai impak sebenar termasuk perubahan indeks harga pengguna dan bekalan barangan.
“Kita akan memantau secara dekat, bukan hanya membuat unjuran malah berdasarkan data dan angka yang bersesuaian,” katanya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut meneliti beberapa langkah awal termasuk pelaksanaan bekerja dari rumah dan kawalan perbelanjaan.
“Ada keputusan yang telah kita capai tadi berkenaan dengan pelaksanaan bekerja dari rumah dan juga kawalan pembelanjaan supaya kita dapat laksanakan penjimatan, kita akan perincikan pada Isnin ini,” ujarnya.
Menurutnya, jawatankuasa itu juga akan meneliti langkah dasar dan sokongan kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian sektor perdagangan, perindustrian serta perkhidmatan yang menjadi tulang belakang Selangor.
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut berhubung rapat dengan Kerajaan Persekutuan termasuk agensi seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memastikan keseragaman dasar dan tindakan.
“Kalau ada kesempatan, saya sendiri boleh berhubung dengan Perdana Menteri atau Kementerian Ekonomi untuk membentangkan pelan kita supaya selaras dengan perancangan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan beberapa langkah susulan akan diumumkan dalam tempoh kira-kira dua minggu selepas pengumuman kerangka pelaksanaan.