‘BOM Easter Ahad’ atau Easter Sunday Bombing yang berlaku tanggal 21 April 2019 menyaksikan siri letupan berangkai yang mengorbankan 320 nyawa di beberapa kota di negara Sri Lanka.

Tiga buah gereja iaitu St. Anthony di Colombo, St Sebastian di Negombo dan Zion Church di Batticaloa.

Tiga lagi bom diletupkan di Cinnamon Grand Hotel & Shang-Ri La di Colombo dan Tropical Inn di Dehiwala. Manakala letupan terakhir berlaku di kawasan perumahan di Dematoga.

Susulan kejadian ini, beberapa serbuan telah dilakukan di seluruh Sri Lanka yang berakhir dengan 15 lagi kematian termasuklah 6 kanak-kanak yang diakibatkan oleh pengebom bunuh diri yang berlaku di Sainthamaruthu, bandar yang didiami majoriti Muslim kira-kira 240 kilometer dari Colombo.

Beberapa iktibar yang seharusnya diambil perhatian oleh banyak pihak dan negara termasuk Malaysia adalah berkaitan dengan ucapan dan kenyataan yang bersifat menghasut dan kebencian dalam beragama dan bermasyarakat.

Ketua kumpulan pengebom ini bernama Zahran Hashim bersama tujuh lagi pengikut setia beliau telah bertindak sebagai pengebom berani mati.

Malah dipercayai ramai lagi pengikut beliau masih bergerak bebas di serata negara Sri Lanka yang bakal melakukan apa-apa sahaja serangan berkaitan jika diperlukan.

Figura seperti Zahran Hashim ini seringkali melakukan ceramah yang bersifat menghasut dan membenci penganut agama lain serta menolak sistem demokrasi yang diamalkan oleh kerajaan dan menolak semua sistem yang dimiliki, akibatnya timbullah keresahan dalam masyarakat serta mendatangkan kecurigaan dan permusuhan yang berakhir dengan kematian dan kemusnahan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, melalui ceramah yang disampaikan di Colombo, Zahran telah menggesa penganut agama Islam agar membunuh penganut Kristian dan Buddha yang merupakan musuh utama Islam, akhirnya telah diterjemahkan dengan pengeboman yang mengorbankan 320 nyawa pada minggu lalu.

Setelah berada dalam keadaan aman dan pulih dari kesengsaraan 25 tahun perang saudara, Sri Lanka telah dikejutkan dengan siri-siri serangan bom berani mati yang pasti akan merubah landskap sosio dan politik Sri Lanka.

Ceramah-ceramah yang menghasut dan membenci agama lain oleh Zahran ini boleh diakses di ‘Youtube’ dan sosial media lainnya.

Kegiatan beliau telah diambil mudah dan tidak dipandang sebagai ancaman besar bagi kerajaan Sri Lanka.

Malah maklumat perisik India yang diberikan kepada Sri Lanka seminggu sebelum letupan juga telah menyatakan kemungkinan serangan terroris oleh Zahran dan pengikut-pengikutnya.

Maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan dan interogasi terhadap ahli ISIS yang ditahan di India.

Memo ‘sulit’ bertarikh 11 April yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Polis Sri Lanka, jelas memberikan amaran tentang kemungkinan serangan ganas oleh pengikut ISIS di Sri Lanka, akan tetapi tindakan penangkapan dan serbuan ke atas operasi mereka tidak dilakukan hingga akhirnya telah mengorbankan ratusan nyawa.

Zahran yang tinggal di kota Kattakundy telah berjaya mempengaruhi dan melahirkan terroris yang bersedia menjadi pengebom berani mati pada bila-bila masa sahaja.

Melalui ceramah-ceramah terbuka dan perjumpaan tertutup Zahran bersama protégénya, maka beliau telah mendapatkan satu tempat yang sangat istimewa di kota tersebut, malah hingga ke hari ini, tidak ada seorang pun yang bersedia untuk memberikan apa-apa komen kerana rasa takut dituduh sebagai pengkhianat kepada perjuangan yang dilaksanakan.

Inilah yang membuktikan bagaimana kejayaan proses indoktrinasi yang dilakukan oleh ekstremis hingga berjaya melahirkan pengikut yang percaya membuta tuli, ta’asub dan bersedia melaksanakan apa sahaja arahan yang diberikan oleh pimpinan mereka.

Malah sebahagian daripada mereka juga dipercayai telah berbai’ah dengan Zahran untuk kekal dan bersama-sama dalam perjuangan secara ekstrem ini.

Sebahagian daripada penduduk Kattakundy ini dipercayai tidak selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh Zahran, akan tetapi mereka tidak mempunyai pilihan dan bersikap mendiamkan diri serta tidak mahu mencampuri urusan kumpulan ini.

Mereka yang sebahagiannya adalah masyarakat miskin dan minoriti, tinggal dalam kedhaifan dan amat bergantung antara satu sama lain.

Maka mereka lebih selesa dengan pendekatan tidak mencampuri urusan orang lain dan lebih fokus kepada perniagaan dan urusan peribadi mereka sendiri.

Malah mereka tidak berani berkata apa-apa kerana takut dianggap sebagai pengkhianat hingga akhirnya kerosakan yang berlaku menyebabkan kesemua mereka terpalit.

Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia seperti insiden Memali, Al-Maunah, Kumpulan Krypto, Kumpulan Mujahidin Kedah dan lain lain lagi.

Malah sebenarnya peranan Zahran dan pengikut mereka yang mengambil pendekatan Salafi serta berfahaman Wahhabi dengan jelas menentang sebarang ajaran yang dianggap bid’ah.

Masyarakat Muslim Sri Lanka yang menggelarkan diri mereka Sufi adalah merupakan kelompok masyarakat yang mempercayai tentang keramat, melaksanakan tahlil, talkin dan zikir-zikir tertentu termasuklah pembacaan Ya’asin pada malam Jumaat.

Perkara ini jelas tidak disenangi oleh Zahran dan pengikutnya hingga berlakunya beberapa siri serangan dan ketegangan antara mereka.

Zahran juga dalam ucapannnya menggelarkan kumpulan Sufi ini sebagai bukan Islam dan boleh diperangi.

Terdapat banyak video beliau di Youtube yang dengan jelas mengecam dan menolak pendekatan Sufi serta menyatakan bahawa kelompok ini boleh dibunuh.

Malah beberapa serangan bersenjata dengan menggunakan pedang dan senjata api telah dilakukan oleh kumpulan Zahran ke atas masjid-masjid Sufi termasuk pembunuhan Imam sufi di masjid Kattakundy pada 2017.

Laporan polis oleh Reyyaz Salley, Imam Masjid Dewatagaha, masjid tertua di Colombo telah dibuat pada 2017 tetapi tiada tindakan diambil.

Keadaan ini sebenarnya menyebabkan wujudnya perpecahan dalam masyarakat.

Natijahnya, dua masjid dibina bersebelahan yang satunya adalah masjid Sufi manakala satu lagi adalah Salafi.

Maka keduanya bertembung dan sering berlaku ketegangan hingga mengancam kestabilan dan keamanan dalam masyarakat Islam Sri Lanka.

Mulai 2017 hingga tragedi 21 April yang lalu, Zahran mula mempromosikan Jihad keatas bukan Muslim termasuklah golongan Sufi dan Kristian serta Hindu.

Pada 2018, Zahran dan pengikutnya sekali lagi melakukan serangan dan merosakkan kuil Buddha di Colombo yang masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa Sri Lanka.

Kegagalan bertindak dengan pantas dan mengambil langkah pencegahan sepatutnya telah menyebabkan siri serangan ini berjaya dilakukan mereka.

Zahran telah menjelaskan bahawa pemujaan terhadap sebarang bentuk berhala adalah bersalahan dengan Islam dan haruslah dimusuhi serta dimusnahkan.

Salah satu sebab yang menjadikan isu ini meruncing dalam masyarakat adalah berkaitan dengan dana yang masuk dari Asia Barat sebagaimana dilaporkan oleh beberapa imam Sufi sebelum ini.

Bantuan wang yang banyak untuk pembinaan masjid dan madrasah disalurkan kepada kumpulan Zahran hingga mereka mampu menjalankan operasi yang bersifat ekstrem.

Silibus pengajian juga menggunakan sukatan dari negara Asia Barat dan diajarkan di puluhan sekolah yang dbina dengan dana luar ini.

Malah dalam sesetengah lokaliti, dua masjid dibina bersebelahan iaitu masjid Salafi dan masjid Sufi.

Ini jelas menunjukkan perpecahan yang serius dalam Islam di Sri Lanka.

Selain itu, pendidikan yang didapati oleh Zahran dan pengikutnya di Asia Barat termasuk Saudi telah sedikit sebanyak mempengaruhi penyebaran ekstremisme ini.

Mereka gagal mengadaptasikan ajaran yang berkembang di tanah Arab dengan masyarakat tempatan hingga akhirnya melahirkan konflik yang serius.

Keadaan ini dilaporkan juga menjadi semakin parah apabila Muslim Sri Lanka yang bekerja di Asi Barat pulang dengan membawa ideologi yang keras dan bertentangan dengan masyarakat tempatan.

Selain itu, aliran wang yang disumbangkan oleh mereka kepada kumpulan Zahran juga menjadikan isu ini membarah.

Zahran juga berjaya membina sebuah masjid dengan dana luar dan mengembangkan idelogi ekstrem beliau.

Malah pendekatan yang dibuat dengan mengadakan gimnasium dan kelab remaja telah menjadikan masjid beliau disenangi dan diikuti oleh ramai remaja.

Ini akhirnya menyebabkan ramai yang dipengaruhi oleh ideologi ekstrem kerana mereka hanya faham tafsiran Arab yang diberikan oleh Zahran dan pengikutnya yang telah mentafsirkan Quran melalui pandangan yang ekstrem.

Beliau juga berjaya mempengaruhi beberapa anak VIP termasuklah Ilham Ahmed, satu daripada dua anak saudagar rempah terkenal Sri Lanka yang terlibat sebagai pengebom berani mati dalam insiden ini.

Kejadian ini pastinya memberikan tamparan yang hebat kepada semua pihak.

Muslim sendiri harus melihat semula masalah yang berlaku di kalangan mereka termasuklah peka dengan isu-isu seperti ini bagi menggalakkan kebencian dan ekstremisme dalam beragama.

Kerajaan Sri Lanka juga haruslah lebih bersedia dan mengambil pendekatan pencegahan bagi menggelakkan tragedi berdarah seperti ini terjadi lagi.

Apa yang pasti landskap sosio-politik Sri Lanka pastinya berubah hasil dari kejadian ini.

Malaysia, perlu mengambil pendekatan tepat dan berani agar dapat menggelakkan insiden seperti ini berlaku di negara kita.

Jangan memandang mudah dan perlulah mengambil tindakan yang tegas atas segala bentuk penyebaran elemen kebencian dan hasutan tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.



* Prof Madya Dr Mohd Mizan Aslam merupakan Pengerusi Kelab Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Perlis Chapter. ([email protected])

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.