Bendera Johor dikibar separuh tiang

Ernalisa Othman
Oktober 25, 2020 03:05 MYT
Bendera negeri Johor dikibarkan separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul Azim. - Astro AWANI
BENDERA Johor dikibarkan separuh tiang pada hari ini bagi menghormati kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Haji Abdul Azim.
Pengumuman itu dimaklumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim, menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bendera Johor dan bendera daerah hendaklah dikibarkan separuh tiang pada Ahad, 25 Oktober.
"Ia bagi menghormatkan kemangkatan Almarhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji Abdul Azim Ibni Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah," katanya dalam kenyataan berkenaan.
BACA: Anakanda Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Azim mangkat
Rakyat Brunei semalam dikejutkan dengan berita duka daripada pihak Istana Brunei yang memaklumkan kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Haji Abdul Azim.
Menerusi laporan Radio Televisyen Brunei, putera berusia 38 tahun itu mangkat pada jam 10.08 pagi semalam (Sabtu, 24 Oktober) dan dimakamkan di Kubah Makam Diraja selepas waktu Asar.
Pemerintah Brunei memerintahkan rakyatnya mengibarkan bendera setengah tiang dan berkabung selama tujuh hari mulai pada hari ini.
#bendera #separuh tiang #Brunei #Johor #mangkat #putera raja #Mohd Noh Ibrahim #Putera Azim #Istana Brunei #Sultan Hassanal Bolkiah #pengiran muda #berkabung