KUCHING: Bendera negeri Sarawak kini dikenali sebagai 'Ibu Pertiwi', kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari mengumumkan perkara itu semasa berucap pada majlis sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri yang diadakan di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.

Menurut Abang Johari sebelum ini bendera Sarawak tidak mempunyai sebarang nama tersendiri seperti bendera Malaysia yang digelar Jalur Gemilang.

"Ibu Pertiwi membawa maksud kedaulatan kepada Sarawak, ia juga menunjukkan kehebatan negeri Sarawak dengan warna (bendera) merah, hitam dan kuning.

"Semua anak Sarawak hendaklah tekad bekerja kuat mempertahankan Ibu Pertiwi dan sama-sama membangun negeri ini agar lebih maju," katanya.

Sambutan ambang tahun baharu dengan tema 'Let's Celebrate Together' itu diraikan dengan pelbagai pengisian termasuk persembahan pentas, pertunjukan bunga api serta acara kiraan detik tahun baharu.

Selain persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Amy Search dan Datuk Zainal Abidin, turut diadakan ialah perasmian tiang bendera Sarawak.

-- BERNAMA