BANTING: Benih koko premium yang diusahakan secara amalan pertanian baik boleh membantu meningkatkan pendapatan petani koko, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata Lembaga Koko Malaysia (LKM) sentiasa membuat penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan petani koko dapat menghasilkan produk biji koko premium.

"Kalau yang premium, biji koko kering itu akan dijual pada harga RM15 sekilogram, manakala yang biasa mungkin harganya RM6-7 sekilogram.

"Jadi maknanya dengan menanam bukan saja benih yang baik dan premium tetapi diusahakan secara amalan pertanian baik, kalau semua dipatuhi mengikut standard dan sebagainya Insya-Allah mereka akan dapat harga yang lebih baik.

"Itu yang kita usahakan, sebab itu kursus dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk melatih pekebun-kecil kita supaya mereka akan balik (kembali) kepada produk yang lebih premium," katanya kepada media selepas sesi santai mesra bersama pengusaha tanaman koko di Kebun Lee's Cocoa di Tanjung Sepat, Selangor pada Ahad.

Sementara itu, Fadillah berkata hari ini juga diadakan kursus untuk penanam koko dari Tanjung Karang, Sabak Bernam, dan Sekinchan.

Menurutnya, rata-rata pekebun atau petani berharap kerajaan dapat memberi sokongan untuk input pertanian yang kini meningkat seperti baja, racun dan benih.

"Mereka juga mengharapkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat membantu melalui LKM Dan Insya-Allah perkara ini kita akan bawa berbincang dengan Kementerian Pertanian, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana kita boleh membantu sama ada dalam bentuk subsidi ataupun apa saja bantuan yang boleh untuk meringankan ataupun mengurangkan input pertanian kepada mereka," katanya.

Kebun Lee's Cocoa yang dimiliki pengusaha koko tempatan, Lee Soon Cheong, merupakan lokasi akhir bagi Program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Fadillah yang melakukan lawatan ke tapak pengeringan biji koko atau 'Sauna Cacao' serta melancarkan produk premium Lee's Cocoa Tree to Bar turut memuji kejayaan Lee yang berjaya mengusahakan tanah hampir seluas lapan hektar itu dengan sokongan benih terpilih daripada LKM.

Hasil daripada kejayaan itu, Kebun Lee's Cocoa kini dapat mengeluarkan hasil hiliran seperti coklat premium yang dijual secara dalam talian dan juga di pasaran tempatan.

Selain itu, kebun tersebut juga menyediakan aktiviti agro-pelancongan kepada pengunjung dalam dan luar negara dengan mempromosikan proses penghasilan produk koko bermula daripada rantaian buah koko sehingga kepada penghasilan coklat.

Kebun tersebut merupakan antara pengusaha tanaman koko yang produktif dalam melaksanakan penanaman koko, memproses dan mengeringkan biji koko serta membuat produk coklat berkonsepkan 'tree to bar' yang menghasilkan biji koko 'single origin' (asal tunggal) serta coklat premium.

Setakat ini, program tanaman koko seliaan Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Selangor merekodkan keluasan tanah berjumlah 16.84 hektar dengan melibatkan penyertaan 35 orang pekebun koko.

-- BERNAMA