Benjy oh Benjy... Apa khabar di sebalik tirai besi?

Harits Asyraf Hasnan
Februari 8, 2021 06:39 MYT
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim amat memerlukan sokongan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi moral. - Foto Ihsan Seniman
KUALA LUMPUR: Penularan wabak COVID-19 telah menjarakkan lagi hubungan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dengan pelakon, Benjy yang menjalani hukuman di Indonesia.
Setiausaha Agung Seniman, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata walaupun mereka tidak dapat menziarahi Benjy di Penjara Tanjung Gusta, Medan, namun mereka masih saling berkomunikasi sama ada menerusi panggilan telefon atau aplikasi WhatsApp.
Beliau akui, Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim amat memerlukan sokongan bukan sahaja dari segi kewangan tetapi moral.
"Ramai sedia maklum yang dia (Benjy) mengalami masalah asma. Alat sedut (inhaler) yang dia perlukan kosnya agak mahal di sana.
"Sebelum ini kami pernah belikan, harganya sekitar RM300. Ubat ini tidak disediakan pihak penjara, perlu dibeli kerana jenis yang digunakan itu bukan seperti biasa.
"Jadi selalunya, dalam komunikasi antara saya dan dia lebih kepada masalah kesihatan dan keperluan wang untuk menampung kos ubat-ubatannya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pada Disember 2018, Presiden Seniman, Zed Zaidi pernah melawat Benjy di penjara berkenaan.
Ini disusuli kunjungan Mohd Hafiz yang memberi sumbangan kepada pelakon terbabit, April tahun 2019.
Mohd Hafiz pada masa sama akui khuatir akan kesihatan mental Benjy yang telah lebih tiga tahun menerima hukuman di penjara itu.
"Apa yang kami (Seniman) dengar menerusi perbualan, dari segi kesihatan mental itu boleh saya katakan dia agak tertekan.
"Penjara di sana sangat berbeza jika dibandingkan dengan fasiliti, keselesaan, cara layanan dan sebagainya di Malaysia ini," ujarnya.
BACA: Benjy dipenjara 11 tahun di Indonesia kerana seludup dadah
BACA: "Bukan salah ibu mengandung" - Netizen simpati nasib Benjy
Mewakili Seniman, Mohd Hafiz mengalu-alukan bantuan kewangan bagi meringankan beban yang dilalui Benjy.
Sumbangan berkenaan boleh disampaikan menerusi akaun Tabung Prihatin Seniman (CIMB: 8600499812).Setiap sumbangan perlu diletakkan 'Sumbangan Benjy' dalam ruangan nota transaksi bagi memudahkan pihak Seniman menyalurkannya terus kepada Benjy.
Jika terdapat sebarang pertanyaan, boleh juga menghubungi Pejabat Seniman Malaysia di talian 03-4105 5442 atau e-mel kepada persatuansenimanmalaysia@gmail.com
Pada April 2017, Benjy ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu, Deli Serdang Sumatera Utara oleh pihak Kastam dan Eksais republik itu sejurus tiba dari Kuala Lumpur.
Benjy dituduh memiliki dadah jenis methaphetamine seberat 4.5 gram yang disembunyikan pada bahagian duburnya.
Pada 18 Oktober 2017, Benjy dijatuhkan hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia.
BACA: Benjy semakin derita, hampir positif sakit Tibi
BACA: Rindu nak makan stew yang Benjy masak - Bapa
#Benjy #pelakon Benjy #Mohd Hafiz Mohd Nafiah #Kastam&Eksais #Dadah #Syabu #artis malaysia #kesihatan #penjara #penjara Indonesia #mahkamah #Penjara Tanjung Gusta #COVID-19