PELAKON Malaysia, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy, dihukum penjara 11 tahun selepas didapati bersalah menyeludup dadah jenis kristal methamphetamine dalam duburnya ketika berkunjung ke pulau Sumatera April lalu.

Benjy ditahan bersama 4.5 gram dadah jenis itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu.

Selain hukuman itu, aktor berusia 38 tahun itu diarah membayar denda berjumlah AS$74,000 (RM312,539) oleh Mahkamah Daerah Medan.

Hukuman penjara itu lebih rendah berbanding 14 tahun dicadangkan pendakwa raya selain terlepas dari hukuman mati.

"Kami mengisytiharkan defendan, Benjy terbukti bersalah dari segi undang-undang kerana memiliki dan mengawal narkotik," kata ketua hakim, Prasetyo Wibowo.

Sejurus hukuman dibacakan, Benjy menurut laporan media tempatan Indonesia gagal menahan sebak dan mengalirkan air mata.

Reaksi Benjy seperti yang dipaparkan di laman sosial rasmi @My_CrimeWatch mendapat perhatian netizen yang prihatin dan simpati akan nasib pelakon itu.

"Kasihan pula tengok dia menangis," tulis @CahayaSakinah_.

"Banyak-banyak mula orang menyesal aku tengok, muka ini yang paling aku kasihan," tulis @Heeeyiii.

"Jangan benci dia. Benci perbuatan dia," kata @misskillll.

"Bukan salah ibu mengandung," kata @SafuanBensa.



Netizen juga mendoakan agar Benjy menginsafi perbuatannya dan tidak mengulanginya lagi.

"Semoga Allah beri hidayah kepadanya. Amin," doa @syu9093.



Benjy ialah anak sulung pelakon legenda Malaysia, Allahyarham Azean Irdawaty yang meninggal dunia akibat kanser pada 17 Disember 2013.

Sumber: @My_CrimeWatch, Berita Harian, AFP