TAWAU: Umat Islam yang tersalah berbuka puasa kerana mengikut azan maghrib di radio yang disiarkan awal dari waktunya dikira tidak sah dan terbatal mengikut hukum syarak.

Oleh itu, menurut Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar, mereka perlu menggantikan puasa setelah berakhirnya bulan Ramadan.

Katanya, usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu serta berbuka puasa adalah murni dan sangat baik.

"Bagaimanapun, mereka (radio) perlu lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelak insiden siaran azan diawalkan dari waktunya pada masa depan.

"Sehubungan itu, adalah disarankan kepada umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.

Pihaknya berharap, penjelasan mengenai perkara itu dapat memberi manfaat kepada umat Islam khususnya mereka yang berada di kawasan yang terlibat.

Semalam, salah sebuah stesen radio tempatan di Tawau tersilap menyiarkan laungan azan Maghrib empat minit lebih awal dari waktu yang sepatutnya menyebabkan ada penduduk berbuka awal puasa.

Penyampai radio yang bertugas ketika itu mengakui kesilapan berkenaan turut mengeluarkan kenyataan maaf berhubung perkara itu di laman sosial Facebook malam tadi.