MALAYSIA
Berdepan cabaran global, ASEAN perlu terajui pembaharuan sektor hartanah - Nga
KUALA LUMPUR: ASEAN mesti menerajui dalam pembaharuan sektor hartanah dalam keadaan ketidaktentuan geoekonomi, anjakan struktur dan pembandaran pesat, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Dalam ucaptama pada Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025 di sini hari ini, Nga berkata rantau ini sedang berdepan cabaran hebat termasuk gangguan rantaian bekalan, turun naik mata wang dan lonjakan permintaan untuk perumahan bandar.
"Kita kini berada pada era hartanah bukan lagi hanya mengenai bangunan tetapi mengenai membina masa depan, iaitu setiap rakyat, dari Kuala Lumpur ke luar bandar Kemboja, bukan sahaja mencari tempat tinggal tetapi juga penghormatan dan peluang," katanya.
Memetik data Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UN ESCAP), beliau berkata penduduk bandar ASEAN diunjurkan meningkat sebanyak 90 juta menjelang 2030 justeru memerlukan pembinaan 10 hingga 12 juta unit rumah baharu setiap tahun.Pada masa yang sama, ketidaktentuan global telah menyebabkan jualan hartanah merosot, dengan harga kondominium mewah di Ho Chi Minh City jatuh lapan peratus disebabkan lebihan bekalan manakala hartanah perindustrian melonjak 22 peratus, didorong oleh peralihan dalam pembuatan serantau.
Nga berkata sektor pembinaan juga bergelut dengan turun naik harga bahan, memberi contoh harga keluli yang menyaksikan turun naik sehingga 30 peratus manakala ringgit Malaysia jatuh kepada RM4.80 berbanding dolar AS pada April 2024, sebelum pulih kepada RM4.20.
"Ketidakpastian ini merumitkan perancangan rantaian bekalan dengan mengubah harga kedua-dua import dan eksport," katanya.
Di sebalik kejutan jangka pendek, Nga menggariskan apa yang disifatkan beliau sebagai "tiga anjakan yang tidak dapat dipulihkan" yang memberi kesan kepada sektor hartanah di rantau ini iaitu keperluan kemampanan, paradoks urbanisasi dan penetapan harga semula geopolitik modal global.
"Ciri-ciri hijau pernah menjadi pilihan premium, ia kini menjadi keperluan minimum daripada pengawal selia dan pengguna," katanya sambil menambah bahan binaan mampan kini meliputi sehingga 15 peratus kos keseluruhan pembinaan.
Bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan, Nga mencadangkan pembangunan model perumahan ASEAN yang fleksibel yang dibina berdasarkan tiga prinsip teras iaitu perancangan dipacu data, perkongsian awam-swasta-rakyat yang kukuh dan penyelesaian mengikut konteks sensitif yang disesuaikan dengan realiti tempatan setiap negara anggota.
Beliau berkata model Sewa-untuk-Memiliki (RTO) Malaysia menunjukkan bagaimana pemilikan rumah kekal boleh dicapai walaupun kos meningkat sambil menyatakan bahawa kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah nasional daripada 77 peratus kepada 80 peratus menjelang 2030.
"Program RTO kami menggabungkan fleksibiliti sewa dengan laluan yang jelas kepada ekuiti," katanya, sambil mengiktiraf peralihan generasi dalam kalangan anak muda Malaysia yang semakin memilih untuk menyewa kerana bimbang tidak mampu.
Nga turut mencadangkan penubuhan 'Makmal Dasar Perumahan Serantau' bagi mempromosikan penyelidikan kolaboratif dan 'Papan Pemuka Kemajuan Agenda Bandar ASEAN' bersama untuk memantau sasaran pencapaian dalam menyediakan rumah mampu milik dan pengurangan karbon.
Memandangkan Malaysia kini mempengerusikan Perhimpunan PBB-Habitat PBB, beliau berkata ASEAN perlu menyelaraskan strateginya dengan Agenda Bandar Baharu untuk memastikan keterangkuman, kemampanan dan daya tahan dalam pembangunan perumahan di seluruh rantau ini.
"Perumahan bukan tentang bata dan mortar. Ia mengenai maruah, tentang kestabilan, tentang masa depan bersama di mana tiada warga ASEAN yang tertinggal," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami