KJ sertai semula UMNO? Kerajaan kekal neutral - Fahmi

Fahmi bercakap pada sidang media Hari Kurier Negara 2025 di Shah Alam, hari ini. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan Kerajaan kekal neutral berhubung kemungkinan kemunculan semula Khairy Jamaluddin dalam Barisan Nasional (BN), sambil memaklumkan keputusan tersebut adalah hak individu.
Ringkasan AI
- Fahmi Fadzil menegaskan kemunculan semula Khairy Jamaluddin dalam BN adalah hak individu dan tertakluk kepada keputusan parti masing-masing.
- Kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan asing, meningkatkan tadbir urus dan membanteras rasuah.
- Media melaporkan Khairy dijangka kembali ke UMNO sebelum PRN Sabah, dengan restu kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden Ahmad Zahid.
“Itu pilihan individu dan terpulang kepada parti masing-masing untuk menerima atau pun tidak. Jadi kita ikut prosesnya," katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media Hari Kurier Negara 2025 di Shah Alam, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi turut menekankan apa yang menjadi keutamaan Kerajaan kini adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan asing, selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.
"Seperti Perdana Menteri sebut di Parlimen, kita bertungkus lumus untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama bagi negara-negara besar. Inilah fokus dan tugas utama kerajaan Malaysia pada waktu ini," katanya.
Beliau menambah aspek tadbir urus sedang diperkukuh, usaha membanteras rasuah dipertingkatkan dan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan bagi memastikan imej negara terus harum di peringkat antarabangsa.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dijangka menyertai semula UMNO sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.
Hasrat pemimpin itu didakwa sudah mendapat 'restu' pimpinan tertinggi parti itu khususnya Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid dikhabarkan sudah meminta Khairy menghantar dokumen permohonan bagi menyertai semula UMNO, selepas dipecat pada Januari 2023.
Sejak dipecat, Khairy aktif dalam platform audio siar yang diasaskan beliau iaitu Keluar Sekejap.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


