KUALA LUMPUR: Golongan perokok perlu mempunyai akses dan maklumat yang tepat, selain pembuktian secara saintifik, seiring usaha mereka untuk berhenti merokok.

Itu pandangan yang disuarakan 77 peratus daripada lebih 22,500 responden, hasil tinjauan pendapat yang dijalankan badan bebas Povaddo, yang bekerjasama dengan Philip Morris International Inc (PMI).

Kajian itu turut mendapati, usaha mengurangkan kadar perokok menjadi antara perkara penting melibatkan isu kesihatan awam.

"Tiga daripada empat responden (76 peratus) percaya, penting untuk kerajaan meletakkan tempoh masa dan sumber sewajarnya untuk mencapai matlamat itu.

"Pada masa sama, 58 peratus responden percaya, lebih banyak perundangan dan percukaian melibatkan rokok tidak memadai untuk menghentikan tabiat itu," memetik laporan kajian tersebut.

Negara-negara yang terlibat dengan kajian itu adalah Argentina, Australia, Brazil, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Jepun, Mexico, Belanda, Norway, Filipina, Rusia, Afrika Selatan, Korea Selatan, Sepanyol, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.