Rakyat perlu memberi kerajaan masa dan peluang untuk melakukan perubahan bagi mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik dan maju, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berucap di hadapan komuniti Malaysia di Qatar pada majlis jamuan malam bersama rakyat Malaysia di sini, beliau berkata negara memerlukan perubahan namun perubahan tidak akan datang bergolek.

"Bila kami ambil alih (kerajaan), kami dapati banyak kekurangan dan ini tidak mudah untuk ditangani. Berikan peluang dan masa kepada kami untuk melakukan apa yang kami mahu buat untuk mernjadikan sebuah kerajaan yang lebih baik.

"Kita memerlukan perubahan namun perubahan tidak akan datang bergolek, kita mesti bersama-sama berusaha memastikannya... insya-Allah negara kita ini diperbaiki," katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yakin dapat mengatasi segala masalah itu kerana ia hanyalah bersifat sementara.

Terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang bermastautin di Qatar dan bekerja dalam pelbagai bidang seperti jurutera, doktor, juruterbang, pensyarah dan peguam.

Dr Wan Azizah dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Qatar dan ini merupakan lawatan pertamanya ke negara itu selepas dilantik sebagai timbalan perdana menteri selepas PH menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

-- BERNAMA