Beri keyakinan KBS selesai isu atlet, bekas atlet - Ahmad Faizal

Abd Razak Mohd Ali
September 12, 2021 04:21 MYT
Ahmad Faizal (kanan) beramah mesra bersama petugas kesihatan ketika membuat lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta orang ramai, khususnya warga maya atau netizen, supaya memberi keyakinan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan atlet atau bekas atlet.
Katanya, beliau bersetuju dengan pandangan agar semua pihak berhenti memberi ulasan berhubung isu melingkari jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli, yang pingat emasnya dibatalkan pada Sukan Paralimpik Tokyo baru-baru ini.
Menurutnya, komen-komen yang diberikan netizen dibimbangi menjejaskan emosi atlet, sekali gus boleh menjejaskan kehidupan mereka.
"Saya bersetuju dengan pandangan ‘lets stop talking about that’. Kita perlu beri sedikit keyakinan kepada kami pihak Majlis Sukan Negara (MSN), KBS.
"Saya berikan komitmen bahawa, semua atlet, bukan sahaja Ziyad seorang, semua atlet para kita, dan semua atlet yang lain, akan sentiasa mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada kerajaan.
"Jadi, mungkin elok kita berbincang tentang bagaimana kita hendak move forward (maju ke hadapan) dan belajar daripada apa yang telah kita alami, bukan terlalu memberi fokus kepada atlet berkenaan yang boleh mengganggu kehidupan dia sendiri," katanya.
BACA: Rakyat Malaysia tidak puas hati pingat emas Ziyad dibatalkan
BACA: Berhentilah 'ganggu' Muhammad Ziyad
Ahmad Faizal ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan petugas barisan hadapan dan sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Pada Sabtu, delegasi teknikal sukan powerlifting yang bertugas di Sukan Paralimpik Tokyo, Kamaruzaman Kadir meminta orang ramai berhenti mengulas mengenai isu Muhammad Ziyad kerana dikhuatiri mampu menjejaskan emosi atlet berusia 31 tahun itu.
Ahmad Faizal berkata, kenyataan itu amat sesuai dan bertepatan bukan sahaja untuk Muhammad Ziyad tetapi juga atlet lain dan bekas atlet.
BACA: MSN pernah tawar kerja kepada bekas atlet para Mohd Raduan, tetapi ditolak
BACA: 'Jangan kecam kawan saya dari Ukraine, dia pun ada perasaan' - Ziyad
Malah, kata Menteri Belia dan Sukan itu, Ziyad sendiri telah meminta rakyat Malaysia supaya berhenti mengecam atlet Ukraine yang meraih pingat emas dalam acara kerana atlet itu juga senasib dengannya.
Pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) juga sentiasa prihatin dan memberi fokus utama terhadap nasib bekas-bekas atlet, termasuk yang ditularkan di media sosial.
#Ahmad Faizal Azumu #Ziyad Zolkefli #pingat emas dibatalkan #yakin kepada KBS