KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 180 bulan dan denda RM194,062.10 terhadap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu yang didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu selepas mendapati Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, yang kini digantung tugas, gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan selepas mahkamah mendengar keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan Sheikh Hassan menjalani hukuman itu secara serentak bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tertuduh ditambah 60 bulan lagi jika dia gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Ahmad Zamzani membenarkan permohonan Sheikh Hassan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana tertuduh berhasrat mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Sheikh Hassan didakwa menggunakan kedudukannya untuk melantik syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan di antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

Mengikut pertuduhan, kontrak itu melibatkan penganjuran program dan operasi anggota bomba di balai tersebut antaranya meliputi penyediaan makanan untuk mereka yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, memadam kebakaran hutan serta banjir.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam G.Ravishankar memohon hukuman ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertama Sheikh Hassan serta fakta bahawa anak guamnya itu juga tidak mempunyai rekod buruk sepanjang 31 tahun berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata, tertuduh juga masih menyara anak bongsunya yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, yang dibantu oleh Siti Sarah Zainal Abiddin, pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar menjadi teladan selain mengambil kira kepentingan awam. - BERNAMA