Perwakilan PKR Sarawak, Joshua Jabeng menuntut agar kuasa autonomi diberikan untuk memilih calon bagi pilihan raya negeri yang dijangka akan diadakan dalam masa dua tahun lagi.

Katanya kuasa autonomi itu perlu diserahkan supaya tidak berlaku salah faham sehingga menyebabkan ada ahli parti bertanding sebagai calon Bebas.

"Kita minta supaya PKR Pusat beri kuasa autonomi kepada Baru Bian untuk letak calon pilihan raya negeri lebih awal untuk elak berlaku salah faham hingga ada yang bertanding calon bebas kerana tak puashati.

"Kalau tetapkan calon lebih awal kita boleh buat persiapan awal," katanya ketika membentangkan usul di Kongres Nasional Keadilan ke-9 di Dewan Sivik MBPJ, di sini hari ini.

Sarawak merupakan antara negeri yang paling ramai calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Joshua berkata antara punca ramai calon bebas bertanding di Sarawak akibat kegagalan kompromi antara parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan usul yang dibentangkan itu dapat diterima seterusnya menjadi formula terbaik untuk Pakatan Rakyat menentang Barisan Nasional di Sarawak.

Sementara itu, Pemimpin dan ahli parti komponen Pakatan Rakyat dinasihatkan agar menyuarakan perbezaan pendapat melalui saluran dalaman dan tidak lagi mengemukakan kepada media.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh perwakilan Pulau Pinang, Sim Tze Tzin ketika berucap di Kongres Nasional Keadilan ke-9 itu.

Beliau juga berkata beberapa isu dasar yang telah dipersetujui dan dimasukkan ke dalam dasar bersama Pakatan Rakyat tidak diungkitkan lagi biarpun sengaja ditimbulkan oleh parti lawan.

"Apabila sengaja diungkitkan oleh pihak lawan, parti-parti saudara pula membidas antara satu sama lain di media arus perdana.

"Sehinggakan semasa kempen, perbezaan pendapat ini masih dibahas secara terbuka. Kita sudah tahu bahawa pihak lawan tengah menunggu saat-saat tersebut," katanya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Selain itu katanya, kajian Pusat Kajian Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati rakyat memberi sokongan penuh kepada calon yang ditonjolkan mewakili Pakatan Rakyat bukan parti yang diwakili.

Justeru beliau mencadangkan pembahagian kerusi harus diselesaikan dengan penuh semangat Pakatan Rakyat.

"Kita nampak sesetengah pemimpin meletakkan kepentingan diri atau puaknya atau kenegeriannya tanpa menimbangkan kerangka besar dan semangat Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau seterusnya meminta agar negeri-negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat agar terus menunjukkan rekod pentadbiran yang cemerlang kerana ia membantu untuk mendapat sokongan rakyat.

PKR pagi tadi turut membuat keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual diadakan dalam masa terdekat sehingga November ini.

Ini bagi memberi laluan kepada parti itu memperkemas struktur parti yang baru sahaja mengahrungi pilihan raya umum ke-13.

Usul khas itu dibentangkan Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan dipersetujui majoriti perwakilan.