Rakyat harus memberi ruang kepada kerajaan untuk mencari jalan merealisasikan isu mengembalikan sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, rakyat perlu terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggungjawab terhadap sisa radioaktif mereka, tanpa sebarang kompromi.

"Lesen Lynas akan tamat pada awal September, maksudnya ada masa empat bulan lagi sebelum pembaharuan lesen tersebut.

"Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin akan ke Australia selepas cuti hari raya untuk berunding semula, saya fikir perlu diberi masa dan kita ada masa untuk berunding berkenaan perkara ini

"Dalam masa sama, rakyat juga tidak harus lupa bahawa Lynas telah menandatangani satu akujanji untuk menghantar semula sisa pembuangan radioaktif ke Australia pada hujung 2012 dan mereka harus diberi tanggungjawab dan diingatkan akujanji mereka itu supaya mereka tidak lepas tangah dengan mudah," katanya semasa dihubungi di sini pada Jumaat.

BACA: Kerajaan akan beri lampu hijau untuk Lynas teruskan operasi - Tun M

BACA: Tiada petunjuk operasi Lynas sebabkan peningkatan konsentrasi logam berat

Pada Khamis, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia, Lynas Corporation untuk terus beroperasi di negara ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai AS$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Jelas Fuziah, semua aspek jawapan Dr Mahathir berkenaan isu Lynas wajar dilaporkan untuk memberi gambaran yang menyeluruh serta seimbang dan bukan gambaran sensasi semata.

"Dari pengamatan saya, adalah dikenal pasti bahawa isu sisa buangan radioaktif Lynas turut diperkatakan dengan panjang lebar oleh Dr Mahathir akan tetapi bahagian tersebut tidak dilaporkan oleh pihak media.

"Sebaliknya, yang dilaporkan oleh pihak media hanya sebahagian daripada ucapan Dr Mahathir di dalam wawancara tersebut, yang menyebut tentang aspek pelaburan dan perlesenan sahaja, tanpa dikaitkan dengan sisa buangan radioaktif tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, kata Fuziah, kerajaan terdahulu telah menggadaikan keselamatan rakyat Malaysia dan rakyat Kuantan khususnya atas nama keuntungan semata-mata.

"Kerajaan hari ini pula terpaksa memikul beban membetulkan banyak kesilapan dan kesalahan kerajaan lepas, di mana Lynas merupakan salah satu dari kesilapan tersebut.

"Sama ada kerajaan dahulu telah tertipu dengan mempercayai naratif Lynas atau kerajaan dahulu hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan rakyat, hakikatnya tetap sama, iaitu, kerajaan hari ini perlu mencari jalan penyelesaian ke atas sisa buangan radioaktif tersebut.

"Kerajaan hari ini, yang mana saya juga merupakan sebahagian daripadanya, wajar dapat diberi ruang oleh rakyat untuk melaksanakan tugas dengan terbaik demi merealisasikan tanggungjawab yang rumit ini, yang terhasil dari kesilapan lampau," ujarnya.



Sementara itu, Setiausaha Syarikat Lynas Corporation, Andrew Arnold dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya mengalu-alukan kepentingan operasi Lynas di Malaysia.

Katanya, pihak Lynas akan mengemaskini pasaran selepas menerima penjelasan lanjut daripada kerajaan Malaysia.