KUALA LUMPUR: Peranan pemimpin setempat dalam menyampaikan maklumat dan pencerahan berhubung Kerajaan Perpaduan dilihat antara faktor penting yang perlu diberi tumpuan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata tumpuan kepada usaha pembangunan dan keupayaan pemimpin setempat itu adalah penting bagi menjawab isu-isu rakyat sekali gus mengetengahkan isu yang dihadapi di peringkat akar umbi.

"Sudah pasti untuk kempen (PRN) pada kali ini, kami akan mempertingkatkan capaian kami dalam bentuk kempen digital. Walaupun kami lakukan juga sebelum ini (kempen digital), tetapi (berdasarkan) pengalaman, kami perlu seimbang antara digital dan juga apa yang berlaku di akar umbi.

"Melihat kepada beberapa lokaliti yang saya menangi dalam pilihan raya lepas membuktikan bahawa bukan sahaja kempen digital (penting) tetapi juga kewujudan pemimpin-pemimpin setempat yang berfungsi dengan baik dan efisien, akan banyak membantu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program hi-tea bersama masyarakat Tiong Hua Hulu Kelang semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor berkata usaha itu juga mampu memberi kesan menyeluruh kepada parti sepanjang tempoh berkempen hingga ke hari mengundi.

-- BERNAMA