Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap kes-kes penularan virus berbahaya sehingga menjejaskan kesihatan rakyat negara ini sentiasa mengambil langkah proaktif.

Demikian juga dalam kes penularan novel koronavirus, KKM telah melancarkan pelbagai tindakan bagi memastikan virus berkenaan tidak merebak ke seluruh negara.

Dalam masa sama, KKM sentiasa bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa dan negara lain seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi berkongsi maklumat memandangkan novel koronavirus merupakan virus baharu.

Berikut antara langkah kesiapsiagaan dan respon KKM yang telah diaktifkan sejak sejak kes pertama berlaku di Wuhan:

1. Tatacara pengendalian kes-kes yang disyaki melibatkan kemudahan kesihatan awam dan swasta dikeluarkan.

Ia digunakan sebagai rujukan semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali serta menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV.

2. KKM telah memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa dan sekiranya terdapat pengembara yang disyaki, individu itu akan dirujuk untuk pemeriksaan selanjutnya.

3. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan dengan memenuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan.

4. KKM juga bekerjasama dengan agensi lain terutamanya berkaitan pintu masuk antarabangsa bagi membolehkan pengesanan pantas dibuat ke atas pengembara yang bergejala.

5. Sebanyak 26 buah hospital KKM telah dikenal pasti di seluruh negara bagi mengendalikan kes-kes yang disyaki tersebut terutamanya kepada mereka yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

6. Sampel yang diperoleh daripada pesakit akan dihantar untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), yang merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut.


7. Sekiranya terdapat kes disyaki 2019-nCoV yang dikesan daripada mana-mana kemudahan kesihatan, kes berkenaan akan segera dilaporkan kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga Crisis Preparednes and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

8. Bersiap sedia dengan Rapid Respose Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di peringkat daerah yang akan diaktifkan sekiranya terdapat pemakluman mengenai kes yang disyaki 2019-nCoV daripada hospital yang merawat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

9. Penggunaan alat pelindung diri (PPE) bagi semua anggota kesihatan yang terlibat terus diberi penekanan dan simpanan stok termasuklah ubat-ubatan bagi menghadapi kejadian wabak sentiasa dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di kemudahan kesihatan masing-masing.

Maklumat ini dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.