ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 23 Julai 2026.
Kerajaan naikkan kadar SARA dalam tempoh terdekat - Anwar
Kerajaan akan menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam masa terdekat sebagai usaha membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
PRN Negeri Sembilan: BN tak akan dapat tubuh kerajaan tanpa PN - Jalaluddin
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengakui Barisan Nasional (BN) sukar membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya tidak menjalinkan persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN).
"Masih terasa kehilangan itu" - Hannah Yeoh kenang pemergian sahabat yang dirindui, Salahuddin Ayub
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenang pemergian sahabatnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang genap tiga tahun meninggalkan dunia hari ini.
Laporan RCI TH: Kalau tak perlu rujuk Jemaah Menteri, saya terbitkan hari ini - PM
Kerajaan akan meneliti terlebih dahulu sama ada laporan akhir RCI berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri sebelum diterbitkan kepada umum.
BN kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal - Ahmad Zahid
Komitmen tersebut selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah berubah.
Isytihar dulu Jalaluddin calon MB, baru debat - Khalid Samad
Status Jalaluddin sebagai calon rasmi Menteri Besar perlu diperjelaskan sebelum sebarang cadangan debat boleh dipertimbangkan.
Kes eFishery: SPRM mohon bantuan AGC jejak saksi luar negara
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan bantuan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membantu siasatan berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery.
Pelakon 'Impian Illyana' Lydia Ibtisam meninggal dunia
Pelakon era 2000-an, Lydia Ibtisam, 46, dilapor meninggal dunia pada Khamis selepas beberapa jam berita mengenai keadaan kesihatannya yang kritikal mendapat perhatian ramai.
Ayob Khan umum bersara mulai Ahad ini
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dijangka menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat.
DAP akan kekal parti berbilang kaum, tolak label parti Cina - Anthony Loke
DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum dan menolak stigma yang melabelkannya sebagai sebuah parti Cina, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.