PUTRAJAYA: Kadar bekerja graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkat kepada 76 peratus pada 2024 berbanding 61 peratus pada 2018, namun masih di bawah purata TVET nasional iaitu 95 peratus.
Dapatan itu terkandung dalam Laporan Kajian Hasil Graduan TVET Pertanian di Malaysia yang dibentangkan bersempena dengan Majlis Penyerahan Laporan Kajian TVET Pertanian di Malaysia dan Sesi Libat Urus KPKM bersama Pemegang Taruh Berhubung Aspek Keterjaminan Makanan semalam.
KPKM memaklumkan laporan yang dibangunkan bersama PNB Research Institute (PNBRI) itu merupakan hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua pihak pada 9 Sept 2025 bagi memperkukuh TVET pertanian, meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penyertaan belia dalam menyokong keterjaminan makanan jangka panjang negara.
"Kajian yang menggunakan data KPKM sepanjang beberapa tahun turut menganalisis pendapatan serta penglibatan keusahawanan graduan TVET pertanian," menurut kenyataan itu.
Kajian berkenaan turut mendapati graduan menceburi sektor pertanian memperoleh pendapatan purata bulanan RM100 lebih tinggi berbanding mereka bekerja di luar sektor, manakala usahawan tani mencatat pendapatan lebih tinggi berbanding graduan yang mengusahakan perniagaan bukan pertanian, sekali gus membuktikan sektor pertanian menawarkan laluan kerjaya kompetitif.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu, sektor pertanian masih berdepan dengan cabaran apabila satu daripada dua pekerja ladang kini berumur 40 tahun ke atas, manakala penyertaan belia terus menyusut sejak sedekad lepas.
Selain itu, penyertaan graduan TVET pertanian didapati tertumpu di Sabah dengan 15 peratus, diikuti Kedah (14 peratus) dan Sarawak (13 peratus), manakala negeri pertanian utama seperti Johor, Pahang dan Perak masih belum dimanfaatkan secara optimum.
Bagi merapatkan jurang itu, KPKM memaklumkan kajian berkenaan menggariskan enam hala tuju dasar iaitu menyesuaikan peluasan program mengikut keperluan negeri, mengukur kejayaan berdasarkan hasil relevan dengan pertanian, mengurangkan risiko dalam bidang keusahawanan, menerapkan kemahiran keusahawanan dan pasaran dalam semua program, memperkukuh pendedahan kepada keseluruhan rantaian nilai serta membina kerjasama industri lebih utuh.
Menurut kenyataan itu, dapatan kajian tersebut telah dibentangkan pada Mesyuarat Majlis TVET (MTVET) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Jun lepas dan menyokong agenda TVET negara selaras dengan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 serta Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
-- BERNAMA