Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
April 28, 2021 15:51 MYT
Berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 28 April 2021.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 28 April 2021.
1. COVID-19: 30 lagi sekolah di Selangor diarah tutup dua hari
Tiga puluh sekolah di Selangor diarah tutup dua hari bermula hari ini. Menurut pekeliling Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), ia susulan kes COVID-19 yang dikesan di sekolah-sekolah tersebut.
2. COVID-19: R-naught kebangsaan catat penurunan
Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia mencatat penurunan. Angka itu susut kepada 1.12 pada Selasa berbanding 1.13 hari sebelumnya.
3. Amrin Awaluddin dilantik CEO TH baharu
Datuk Seri Amrin Awaluddin dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu mulai 6 Mei.
4. Judi dalam talian: PDRM semak semula siasatan pembebasan Addy Kana, dua angota polis
Polis akan menyemak semula siasatan kes Zaidi Kanapiah dan dua anggota polis yang dibebaskan serta-merta daripada tahanan di bawah POCA 1959, berkaitan sindiket judi dalam talian.
5. Eksport Malaysia catat pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 44 bulan
Eksport Malaysia pada Mac merekodkan pertumbuhan kukuh dua digit 31.0 peratus kepada RM104.9 bilion dari setahun yang lalu, pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 44 bulan.
6. Vaksin AstraZeneca hanya akan diberikan kepada pemohon sukarela - Khairy
Kerajaan akan memulakan pemberian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca kepada pemohon sukarela menerusi Pusat Pemberian Vaksin khas.
7. UPSR dimansuhkan sepenuhnya
Tiada peperiksaan ganti bagi Murid Tahun 6, sebaliknya, Menteri Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, fokus utama kementerian adalah memperkasa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus.
8. Pengsan ketika memandu, pengurus ladang maut dalam perjalanan ziarah saudara sakit
Hasrat seorang pengurus ladang untuk menziarahi saudaranya yang sakit tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika sedang memandu di Kilometer 325.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 2) berhampiran bandar Kerteh di sini, pada Rabu.
9. COVID-19: Statistik melonjak, Malaysia rekod 3,142 kes baharu, Selangor tertinggi
Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19 apabila merekodkan 3,142 kes baharu pada hari ini.
10. PKPD di 9 lokaliti di Pahang, Negeri Sembilan dan Kelantan
Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti membabitkan satu di Kelantan, satu di Negeri Sembilan dan tujuh di Pahang bermula 29 April hingga 12 Mei depan.
#berita pilihan #Tabung Haji #PDRM #siasatan #COVID-19 #UPSR #vaksin #KKM #PKP #perintah kawalan pergerakan