Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
November 23, 2022 15:59 MYT
November 23, 2022 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 23 November 2022.
Lebih 26,000 pengguna media sosial di Sarawak telah menandatangani petisyen menggesa Ahli Parlimen Sarawak penganut agama Kristian menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional atau Pas.
Tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dan wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Polis Perak menafikan kononnya berlaku kekecohan di hadapan pejabat UMNO yang dikaitkan dengan penggabungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri.
Tular di media sosial pada Rabu, surat yang didakwa dari Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyatakan sokongan 30 ahli Parlimen gabungan tersebut kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dijangka hadir sebagai saksi pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, akan datang.
Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan baharu sahaja selesai mengadakan pertemuan tertutup di Hotel St Regis, di sini.
Di laman-laman media sosial hari ini, sejumlah artis tempatan bersolidariti dan mengajak seluruh peminat hiburan untuk sama-sama mendoakan pelakon Nad Zainal yang kini dilaporkan sedang kritikal di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Ampang, Selangor.
Yang di-Pertuan Agong dijangka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Khamis, dipercayai berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri ke-10.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menafikan dakwaan yang mengatakan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu diadakan bagi membincangkan agenda pemecatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Penceramah kontroversi Hew Kuan Yew, atau lebih dikenali sebagai Superman Hew, ditahan awal hari ini selepas video beliau ceramah kontroversinya minggu lalu, tular.