Berita Terkini ASEAN25: ASEAN anggap Timor-Leste setaraf, bukan berdasarkan kekayaan - PM Anwar

Anwar (tengah) bercakap dalam sesi sidang media khas penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Selasa. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN tidak harus dinilai berdasarkan tahap kemajuan atau kekayaan negara itu, sebaliknya atas dasar penghormatan terhadap kedaulatan dan maruah sesebuah negara.
Ringkasan AI
- Anwar tegaskan kemasukan Timor-Leste ke ASEAN bukan berdasarkan kekayaan, tetapi atas prinsip persaudaraan, kesamarataan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara.
- Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ke-11 ASEAN pada 26 Oktober, selepas 14 tahun berkempen untuk keanggotaan penuh, mencerminkan keterangkuman dan perpaduan serantau.
- Malaysia berperanan penting merealisasikan penyertaan ini, melalui usaha Kementerian Luar sepanjang tahun, selaras dengan matlamat ASEAN membina komuniti inklusif dan berdaya tahan.
“Kita berkawan bukan kerana negara itu kaya. Kita berkawan kerana menghormati negara dan maruah mereka.
“Sama seperti dalam keluarga, ada yang miskin dan ada yang senang, kita tidak memilih kasih berdasarkan harta,” katanya.
Tambahnya, Timor-Leste pada asalnya merupakan sebahagian daripada Indonesia sebelum menjadi wilayah jajahan Portugal.
Negara itu kemudiannya mencapai kemerdekaan selepas melalui proses panjang dan mencabar susulan konflik dalaman pada tahun 1999.
“Sejak 1999 mereka bergelut untuk menjadi sebahagian daripada ASEAN.
“Mereka bukan asing kepada rantau ini kerana daripada segi sejarah dan budaya, mereka juga sebahagian daripada komuniti Asia Tenggara,” ujarnya lagi.
SEMUA ARTIKEL DAN VIDEO BERHUBUNG ASEAN25 DI SINI
Selain itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pegawai-pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia yang giat berusaha memastikan kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam blok ASEAN direalisasikan.
“Sepanjang tahun ini, Kementerian Luar bertungkus-lumus mencari jalan bagi memastikan penyertaan penuh Timor-Leste dapat dicapai. Alhamdulillah, akhirnya sejarah mencatatkan kejayaan ini,” katanya.
Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh perpaduan dan keterangkuman serantau, selaras dengan matlamat ASEAN membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
Pada 26 Oktober lalu, Timor-Leste secara rasmi menyertai ASEAN sebagai anggota ke-11, selepas 14 tahun berkempen untuk keanggotaan penuh.
Timor-Leste memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia pada 2002 susulan referendum yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1999.
Negara berkenaan secara rasmi memohon menjadi anggota ASEAN pada 2011, mencerminkan aspirasi Timor-Leste untuk menjadi sebahagian komuniti serantau.
Pada November 2022, negara anggota ASEAN bersetuju secara prinsip menerima Timor-Leste dan diberikan status pemerhati berdasarkan Pelan Tindakan Berstruktur ke arah keanggotaan penuh.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

