Berita Terkini ASEAN25: ASEAN di peringkat akhir rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan EU - Mohamad

Mohamad berkata, perkembangan rundingan itu menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan serta diyakini mampu dimuktamadkan dalam masa terdekat. - Bernama
KUALA LUMPUR: Rundingan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) bagi memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kini berada di fasa terakhir, menurut Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan rundingan tersebut menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan serta diyakini mampu dimuktamadkan dalam masa terdekat.
“Saya berpendapat rundingan ini berjalan dengan baik dan diharapkan kita dapat memuktamadkan FTA ASEAN-EU dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar di KLCC pada Sabtu.
Mohamad turut memaklumkan bahawa Presiden EU Ursula von der Leyen dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan pada Ahad (sebagai tetamu khas, menandakan komitmen kukuh EU terhadap rantau ini.
Pada tahun 2024, EU kekal sebagai rakan dagangan keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM227.55 bilion, sementara Malaysia menduduki tangga ke-22 sebagai rakan dagangan EU serta ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN.
Rundingan FTA antara Malaysia dan EU yang dilancarkan pada 2010 pernah tergantung pada 2012 selepas tujuh pusingan perbincangan.
Namun, kedua-dua pihak menyambung semula usaha berkenaan pada Januari tahun ini dengan pusingan pertama diadakan pada akhir Jun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


