Berita Terkini ASEAN25: India-ASEAN pacu kerjasama maritim dan ekonomi inklusif - Modi

India isytihar 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN–India bagi kukuh keselamatan laut, HADR & pembangunan ekonomi biru. - Reuters
KUALA LUMPUR: Hubungan strategik antara India dan ASEAN terus diperkukuh dengan tumpuan baharu terhadap kerjasama maritim, ekonomi inklusif dan pembangunan mampan, sebagai usaha bersama memperkukuh kestabilan serta kemakmuran rantau Indo-Pasifik.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata tahun 2026 akan diisytiharkan sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India, bagi memperkukuh kolaborasi dalam keselamatan laut, bantuan kemanusiaan dan tindak balas bencana (HADR), serta pembangunan ekonomi biru.
“Kerjasama kita berkembang pesat dalam bidang bantuan kemanusiaan dan bencana, keselamatan maritim, dan ekonomi biru. Oleh itu, kami mengisytiharkan tahun 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-India melalui pautan video pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa India dan ASEAN bukan sahaja berkongsi ruang geografi, malah ikatan sejarah, budaya dan nilai bersama yang menjadikan kedua-duanya rakan semula jadi dalam memperjuangkan kemakmuran negara-negara Selatan Global.
“India dan ASEAN mewakili hampir satu perempat populasi dunia. Kita bukan sekadar rakan dagang, tetapi rakan dalam sejarah dan nilai kemanusiaan. ASEAN adalah tonggak utama dasar ‘Act East’ India,” ujarnya.
Walaupun dunia kini berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi, katanya, hubungan Perkongsian Strategik Menyeluruh India-ASEAN terus berkembang dan menjadi asas penting kepada kestabilan global.
India turut komited memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, pelancongan, sains dan teknologi, tenaga hijau, kesihatan dan keselamatan siber, bagi memastikan pertumbuhan serantau yang inklusif dan lestari.
“India menyokong sepenuhnya keutamaan ASEAN dalam pendigitalan inklusif, keselamatan makanan dan pengukuhan rantaian bekalan global. Kami akan terus maju bersama ASEAN ke arah matlamat tersebut,” tegasnya.
Menutup ucapannya, Modi menzahirkan keyakinan bahawa abad ke-21 bakal menjadi “abad bagi India dan ASEAN”, dengan kedua-dua pihak berkongsi aspirasi untuk membina masyarakat serantau yang makmur, berdaya tahan dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
“Saya yakin bahawa Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan aspirasi India untuk menjadi negara maju menjelang 2047 di bawah visi Viksit Bharat 2047 akan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan manusia sejagat,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


