Berita Terkini ASEAN25: Pernyataan Pengerusi saran mesyuarat tahunan AMM-AEM untuk perkukuh sinergi luar, ekonomi

Mesyuarat AMM-AEM dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN mencadangkan agar para pegawai mereka meneroka idea untuk menjadikan Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN (AMM-AEM) sebagai acara tahunan yang diadakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN.
"Kami menyedari bahawa landskap geopolitik dan geoekonomi ketika ini menimbulkan cabaran yang belum pernah berlaku bagi rantau ASEAN.
"Kami menyeru agar wujud sinergi yang lebih erat antara tonggak politik dan ekonomi bagi menangani hubungan ekonomi-keselamatan yang semakin meningkat serta meneroka landskap yang semakin kompleks dan berpecah-belah," menurut mereka dalam Pernyataan Pengerusi yang dikeluarkan selepas Mesyuarat AMM-AEM di sini hari ini.
Mesyuarat AMM-AEM dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ia dihadiri oleh Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn serta pakar daripada Pasukan Petugas Khas Geoekonomi ASEAN (AGTF) manakala Timor-Leste hadir sebagai pemerhati.
Pernyataan itu turut mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi ASEAN untuk mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala selain menekankan kepentingan sistem berkenaan yang boleh diramal, telus, inklusif, bebas, adil, mampan dan berasaskan peraturan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai terasnya.
"Dalam mendepani proteksionisme (fahaman perlindungan), peralihan kuasa global dan krisis yang saling bertindih, kami mengulangi kepentingan Kepusatan dan Perpaduan ASEAN dalam memastikan pembinaan struktur serantau yang aman, stabil serta inklusif.
"Kami memperkukuh tekad untuk menegakkan regionalisme (semangat serantau) secara terbuka bagi membina kepercayaan dan keyakinan strategik, menegakkan undang-undang antarabangsa selain memperkasakan kerjasama dan perkongsian yang saling menguntungkan dengan rakan luar," menurut pernyataan itu.
Pernyataan itu turut memaklumkan bahawa pegawai kanan ASEAN diberi tanggungjawab, dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, untuk membincangkan cadangan yang dikemukakan oleh AGTF serta menghantar penilaian dan mencadangkan langkah seterusnya.
"Kami menyeru agar cadangan yang dikemukakan oleh AGTF diselaraskan dengan Rancangan Strategik Komuniti ASEAN (AEC) 2026-2030 serta Visi Komuniti ASEAN 2045 bagi memastikan keselarasan dengan visi lebih luas ASEAN untuk membina ekonomi serantau yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan", katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


