Berita Terkini ASEAN25: PM Anwar rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Anwar berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di KLCC, Kuala Lumpur. - Foto ASTRO AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, menandakan bermulanya siri mesyuarat peringkat tertinggi di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Majlis yang dihadiri para pemimpin, menteri dan delegasi ASEAN itu dimulakan dengan Lagu ASEAN dan ucapan perasmian oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan dan Kanada akan menyertai perbincangan mengenai keamanan, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif serantau dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Pemimpin ASEAN yang menghadiri sidang kemuncak itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.
Antara pemimpin berprofil tinggi yang hadir ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang.
Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa telah berada di ibu negara selepas tiba pada 24 Oktober, untuk menyertai sebagai rakan dialog sektor baharu ASEAN.
Pemimpin lain yang akan menyertai sidang kemuncak itu ialah Timbalan Perdana Menteri China He Lifeng dan Perdana Menteri baharu Jepun Sanae Takaichi, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi bakal menyertai secara dalam talian.
Turut hadir ialah Menteri Luar Finland Elina Valtonen, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, serta Menteri Luar Indonesia Sugiono dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Djamari Chaniago.
Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão juga hadir, menandakan penyertaan bersejarah negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11.
Hadir sama di sidang kemuncak kali ini ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) Carlos Felipe Jaramillo.
Majlis perasmian turut menampilkan ASEAN Prize Award untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang kepada kemajuan Komuniti ASEAN, diikuti pemeteraian Deklarasi Kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 sekali gus melambangkan perpaduan dan pengembangan blok itu.
Selepas majlis tersebut, kalangan pemimpin akan menyaksikan penyerahan Protokol Kedua bagi Pindaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).
Para pemimpin juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN+3 (APT), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta siri libat urus ASEAN+1 bersama rakan utama termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berakhir pada 28 Oktober dengan majlis penutup dan penyerahan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kemuncak tahun bersejarah bagi Malaysia dalam memperkukuh kerjasama, perpaduan dan kemampanan blok Asia Tenggara itu.
Beberapa mesyuarat persediaan telah diadakan dari 23 hingga 25 Oktober, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Wakil Tetap (CPR) ke ASEAN, Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC), dan Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN.
Majlis pemeteraian dokumen penyertaan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) juga telah berlangsung.
Semalam, Timor-Leste secara rasmi menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sekali gus mengesahkan penyertaan negara itu sebagai anggota ASEAN ke-11.
Sebanyak 2,854 petugas media daripada 290 agensi telah mendaftar untuk membuat liputan sidang kemuncak bersejarah itu.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN bagi kali kelima untuk tahun ini sejak penubuhan perkumpulan itu pada 1967, selepas menerajuinya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.
-- BERNAMA
.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

