Berita Terkini ASEAN25: PM Kanada adakan lawatan sulung ke Malaysia, hadir Sidang Kemuncak ASEAN

Menurut Wisma Putra, Anwar dan Carney akan mengadakan mesyuarat dua hala pada 27 Okt bagi membincangkan hala tuju baharu hubungan Malaysia-Kanada. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kanada Mark Carney akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula 25 hingga 28 Oktober ini atas undangan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Kanada Mark Carney akan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Malaysia dari 25 hingga 28 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 - lawatan pertamanya sejak dilantik pada Mac lalu.
- Carney akan menyampaikan ucapan mengenai hubungan ASEAN-Kanada, menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS), serta mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi memperkukuh kerjasama masa hadapan.
- Perdagangan dua hala Malaysia-Kanada meningkat kepada RM11.32 bilion pada 2024, dan lawatan ini dijangka memperluas kerjasama dalam perdagangan, tenaga, keselamatan siber dan hubungan rakyat.
Menurut kenyataan Wisma Putra, beliau akan diiringi isteri, Diana Fox Carney, bersama Menteri Promosi Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada serta pegawai kanan kerajaan negara itu.
Wisma Putra memaklumkan, Carney dijadual menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sesi Pleno yang akan disertai pemimpin negara anggota ASEAN pada Ahad (26 Okt).
Beliau turut dijemput menyampaikan ucapan bertajuk “Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN–Kanada” selain menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia.
Pada Isnin (27 Okt), Anwar dan Carney akan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan hala tuju baharu hubungan Malaysia-Kanada.
“Perbincangan dijangka menumpukan kepada usaha memperkukuh kerjasama masa hadapan serta peluang dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kerjasama halal, tenaga, keselamatan siber dan hubungan rakyat dengan rakyat,” menurut Wisma Putra
Untuk rekod, dari segi ekonomi, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kanada pada tahun 2024 mencatat nilai sebanyak RM11.32 bilion, meningkat 33.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Momentum positif itu diteruskan pada suku pertama tahun 2025 dengan jumlah perdagangan mencecah RM3.26 bilion, peningkatan 38.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Lawatan ini dijangka mengukuhkan lagi trajektori peningkatan perdagangan tersebut, sekali gus memperluas dan mempelbagaikan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara,” tambah Wisma Putra.
Lawatan kerja empat hari itu turut mencerminkan hubungan jangka panjang dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Kanada yang berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta visi ke arah sistem antarabangsa yang stabil dan berasaskan peraturan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


