Berita Terkini ASEAN25: PM Timor-Leste pemimpin terakhir berlepas pulang

Gusmao menerima penghormatan rasmi sebelum berlepas pulang dan menjadi ketua negara terakhir meninggalkan Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. - fotoBERNAMA
SEPANG: Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao bertolak pulang hari ini usai lawatan lima hari ke Malaysia, membawa bersamanya pencapaian bersejarah kemasukan rasmi ke dalam ASEAN sebagai 'cenderahati' buat rakyat negara itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao, menamatkan lawatan lima hari ke Malaysia dengan membawa pencapaian bersejarah kemasukan rasmi negara itu ke dalam ASEAN sebagai anggota ke-11.
- Gusmao menerima penghormatan rasmi sebelum berlepas pulang dan menjadi ketua negara terakhir meninggalkan Malaysia selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
- Malaysia menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina selepas berjaya menganjurkan sidang kemuncak yang turut dihadiri pemimpin serantau dan global termasuk Presiden AS Donald Trump.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mengucapkan selamat jalan kepada pemimpin itu dan delegasinya.
Gusmao, yang popular dalam kalangan media kerana sikapnya yang ramah dan bersahaja, tiba di Malaysia pada 24 Okt lepas justeru menjadi ketua negara terawal tiba bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menjadi yang terakhir pulang.
Pada Ahad, Timor-Leste secara rasmi menjadi anggota ASEAN ke-11 selepas pemeteraian deklarasi kemasukan sekali gus menandakan pencapaian negara muda itu dalam aspirasinya menyertai blok serantau berkenaan sejak memohon pada 2011, iaitu sedekad selepas kemerdekaannya pada 2002.
Semalam, Malaysia menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina selepas kejayaan melaksanakan peranan sebagai pengerusi badan serantau itu sepanjang tahun ini dan kejayaan menganjurkan sidang kemuncak pada 26 hingga 28 Okt lepas dengan penglibatan pemimpin Asia Tenggara dan rakan dialog global termasuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

