Berita Terkini ASEAN25: Timor-Leste rasmi anggota ASEAN, 'Pak Gusmao' pulang disambut bak wira

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan Gusmao sebagai antara pemimpin paling istimewa yang pernah ditemuinya. - Bernama
PUTRAJAYA: Selepas Malaysia menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan semalam, satu lagi momen bersejarah tercipta hari ini apabila delegasi Timor-Leste pulang ke tanah air bukan lagi sebagai pemerhati tetapi anggota rasmi ASEAN yang ke-11.
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah hari menuju Dili, dalam penerbangan yang mengambil masa kira-kira empat jam 15 minit.
Sejurus tiba, satu acara sambutan rasmi menanti kepulangannya, disertai rakyat Timor-Leste yang teruja menunggu pemimpin kesayangan mereka yang mesra dipanggil Pak Gusmao atau Avo Nana.
Sebelum berlepas, Gusmao sempat meluangkan masa di Kompleks Bunga Raya, KLIA untuk beramah mesra dan menyampaikan cenderamata kepada petugas ASEAN bagi delegasi Timor-Leste, termasuk pasukan keselamatan, kesihatan dan petugas media yang banyak membantu sepanjang persidangan berlangsung.
Wartawan Timor-Leste Anito Soares, yang menyertai delegasi media rasmi negara itu berkata sambutan di Dili diadakan bagi menyatakan rasa bangga dan gembira kerana negara itu akhirnya diterima sebagai anggota penuh ASEAN ke-11 selepas membuat permohonan rasmi untuk menyertai blok serantau berkenaan pada 2011.
"Rakyat kami sangat senang. Mereka akan turun di jalan-jalan di negara kami untuk menyambut PM kami dengan kebahagiaan kerana setelah 14 tahun mengajukan permohonan dan lebih dua dekad kemerdekaan, akhirnya tujuan itu sampai, maka ini adalah momen bersejarah untuk sambut bagi pemimpin dan rakyat kami," katanya.
Pengamal media Malaysia dan Timor-Leste, yang bertemu sepanjang liputan sidang kemuncak berkenaan mula menjalin rangkaian profesional baharu dan lebih menarik, perbualan berlangsung dengan cukup lancar dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, menjadikan hubungan media serumpun terasa lebih akrab.
Bagi Anito, penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN membawa tanggungjawab baharu, namun beliau yakin negara itu akan terus belajar dan bekerjasama rapat dengan negara serantau lain.
Seorang lagi wakil media dari Dili Remizia Boavida menyifatkan kemasukan rasmi Timor-Leste ke ASEAN sebagai 'kebanggaan nasional' yang menjadi jawapan kepada perjuangan panjang rakyat mereka.
"Tentu pertama, terharu dan bergembira kerana ini momen yang selama ini kami tunggu. Selama ini rakyat bertanya-tanya bila Timor-Leste boleh masuk ke ASEAN tapi tanggal 26 Okt sudah terjawab, kami rasmi menjadi anggota penuh ASEAN.
"Selama bertahun-tahun kami berjuang untuk masuk tapi hari ini, impian itu akhirnya jadi kenyataan. Sebagai negara kecil tetapi dengan semangat besar, kami akan terus belajar daripada teman-teman ASEAN yang lain untuk membangun ekonomi dan infrastruktur kami," katanya.
Menyifatkan keanggotaan penuh ASEAN sebagai kehidupan baharu untuk Timor-Leste, Remizia berkata rakyat bersiap sedia untuk menyambut kepulangan Avo Nana di Dili dengan penuh kegembiraan selepas perjuangan panjang sejak kemerdekaan pada 2002.
Sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir semalam, Gusmao sering menjadi tumpuan lensa pengamal media kerana keperibadian dan kemesraannya yang kadangkala mengundang gelak ketawa.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang ditemui semasa mengiringi kepulangan Gusmao di Kompleks Bunga Raya menyifatkan beliau sebagai antara pemimpin paling istimewa yang pernah ditemuinya.
"Antara semua pemimpin yang saya temui, Perdana Menteri Timor-Leste ini menonjol dengan keperibadian dan rendah dirinya. Cara beliau berinteraksi dengan media dan orang ramai menunjukkan mengapa beliau begitu disayangi di negaranya.
"Kita di Malaysia mendoakan yang terbaik buat sahabat baharu kita di Timor-Leste. Malaysia akan sentiasa berdiri bersama mereka," katanya.
Sebelum ini, Timor-Leste turut menyatakan hasrat memperluas kerjasama media dan latihan profesional bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui agensi berita rasminya Agencia Noticiosa de Timor-Leste (Tatoli).
Kepulangan Pak Gusmao dan delegasinya menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang penuh bersejarah buat Malaysia selepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengerusi blok serantau itu, dengan Timor-Leste membuka lembaran baharu sebagai anggota rasmi ASEAN.
Di KLIA hari ini, semangat persaudaraan ASEAN yang inklusif benar-benar terasa hidup dengan kemesraan, senyuman, lambaian dan ucapan selamat tinggal antara delegasi negara itu dan petugas yang hadir.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


