[TERKINI] PRN Sabah: Anak muda Kinabatangan perlu sokongan berterusan bangunkan ekonomi daerah
![[TERKINI] PRN Sabah: Anak muda Kinabatangan perlu sokongan berterusan bangunkan ekonomi daerah [TERKINI] PRN Sabah: Anak muda Kinabatangan perlu sokongan berterusan bangunkan ekonomi daerah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41763436415_NoryusriMorsen.jpg)
Noryusri berkata, Kinabatangan mempunyai potensi besar untuk memperkukuh ekonomi setempat sekiranya belia diberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya, khususnya dalam sektor pertanian dan penternakan. - Foto Astro AWANI
SANDAKAN: Belia di daerah Kinabatangan berdepan kekurangan peluang pekerjaan sehingga memaksa ramai dalam kalangan mereka berhijrah ke kawasan lain untuk mencari rezeki, kata Presiden Majlis Belia Daerah Kinabatangan, Noryusri Morsen.
Menurutnya, peluang pekerjaan yang terhad di Kinabatangan menyebabkan golongan muda memilih untuk bekerja di daerah atau negeri lain demi menyara keluarga, selain membantu ibu bapa di kampung.
“Belia di Kinabatangan banyak mengalami masalah peluang pekerjaan.
“Yang tersedia ada tidak banyak, jadi mereka terpaksa berhijrah untuk bekerja dan menampung kehidupan keluarga,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kinabatangan, baru-baru ini.
Menurut Noryusri, sebahagian belia tempatan memilih untuk kekal di daerah itu dengan mengusahakan ladang keluarga, bertani, menternak dan berniaga kecil-kecilan.
Malah ada juga yang terlibat secara langsung mengikuti trend terkini seperti membuat jualan di platform digital seperti TikTok dan Shopee.
Beliau berkata, Kinabatangan sebenarnya mempunyai potensi besar untuk memperkukuh ekonomi setempat sekiranya belia diberikan ruang dan sokongan yang sewajarnya, khususnya dalam sektor pertanian dan penternakan.
“Kinabatangan bukanlah pengeluar besar ayam pedaging, ayam penelur atau kambing, tetapi ada belia kita yang sudah mula menternak.
“Ada yang dalam proses memelihara ayam pedaging dan penelur. Kalau kita dapat kembangkan sektor ini, ia boleh membantu mengawal harga barangan di daerah ini,” jelasnya.
Menurut Noryusri, Majlis Belia Daerah Kinabatangan bersama pengerusi-pengerusi kelab belia kini berbincang untuk mewujudkan projek pertanian dan penternakan bagi membekalkan sayur-sayuran, ayam dan hasil tempatan di sekitar daerah tersebut, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
“Kita mahu cukupkan keperluan makanan di Kinabatangan supaya harga dapat dikawal dan bekalan cukup.
“Ini antara langkah penting untuk menguatkan ekonomi setempat,” katanya.
Mengulas mengenai Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Noryusri berkata golongan belia di Kinabatangan mahukan seorang pemimpin yang tegas, berprinsip dan tidak mudah goyah apabila berdepan tekanan politik.
Jelasnya, usaha pembangunan belia di Kinabatangan masih memerlukan masa dan komitmen jangka panjang. Justeru, pemimpin seterusnya perlu berani memperjuangkan agenda tersebut tanpa kompromi.
“Kami perlukan pemimpin yang ‘keras’ dalam erti kata tidak tunduk jika dijatuhkan dan tidak goyang bila cuba ditumbangkan.
“Apa yang kami telah usahakan dan bentangkan kepada kerajaan negeri perlu diteruskan oleh siapa saja yang memimpin selepas ini,” katanya.
Menerusi jumlah Daftar Pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 mengikut statistik umur, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamit merekodkan 10,917 belia berusia 18 hingga 40 tahun.
Manakala, DUN Lamag dengan 7,991 dan DUN Sukau merekodkan 8,939 belia.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

