[TERKINI] FIFA gesa negara asal pemain warisan lapor polis, heret ke mahkamah
![[TERKINI] FIFA gesa negara asal pemain warisan lapor polis, heret ke mahkamah [TERKINI] FIFA gesa negara asal pemain warisan lapor polis, heret ke mahkamah](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61761951407_fifaFAM.jpg)
FIFA menegaskan bahawa pemalsuan sijil kelahiran merupakan kesalahan serius yang melampaui hanya peraturan bola sepak, kerana ia melibatkan jenayah pemalsuan dokumen kerajaan luar negara.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggesa persatuan bola sepak negara asal pemain yang terlibat dalam isu dokumentasi pemain warisan Malaysia, termasuk dari Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda, supaya membuat laporan polis.
Ringkasan AI
- FIFA menggesa persatuan bola sepak negara asal pemain yang terlibat dalam pemalsuan dokumen pemain warisan Malaysia membuat laporan polis, termasuk dari Argentina, Brazil, Sepanyol, dan Belanda.
- Tindakan undang-undang diperlukan terhadap individu yang terlibat pemalsuan sijil kelahiran tujuh pemain tersebut, yang melibatkan rekod rasmi empat negara dan dianggap sebagai kesalahan serius oleh FIFA.
- FIFA menegaskan pemalsuan dokumen tersebut bukan hanya melanggar peraturan bola sepak, tetapi juga merupakan jenayah pemalsuan dokumen kerajaan luar negara; badan induk itu akan pertimbangkan langkah tambahan jika tiada tindakan undang-undang diambil oleh negara asal.
FIFA berkata mereka mengharapkan tindakan undang-undang termasuk laporan kepada pihak polis diambil di negara asal dokumen itu dikeluarkan, sambil menambah bahawa pihak bertanggungjawab perlu dihadapkan ke mahkamah.
“Memandangkan sifat dan keseriusan kesalahan ini khususnya pemalsuan dokumen rasmi, Jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
"Pemalsuan adalah kesalahan jenayah di negara-negara ini, dan adalah penting pihak berkuasa berkenaan dimaklumkan agar siasatan dan prosiding jenayah yang sewajarnya dapat dijalankan," tegas FIFA dalam Keputusan Jawatankuasa Rayuan berkenaan.
Desakan itu dibuat susulan pendedahan bahawa dokumen yang dihantar FAM kepada FIFA mengandungi maklumat kelahiran yang telah diubah termasuk pertukaran tempat lahir asal di Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda kepada lokasi-lokasi di Malaysia seperti Malacca Straits Settlements, George Town Straits Settlements dan Johore yang bercanggah dengan rekod kelahiran sebenar.
FIFA menegaskan pemalsuan dokumen berkenaan merupakan tindakan terancang yang menjejaskan integriti bola sepak antarabangsa, dan berkata badan induk itu tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan langkah tambahan sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil oleh negara asal.
Malaysia sebelum ini dikenakan denda CHF 350,000, manakala tujuh pemain terbabit digantung 12 bulan dan didenda CHF 2,000 setiap seorang.
FAM hari ini memaklumkan bahawa mereka akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


