KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Satok di sini hari ini.

Keberangkatan Baginda ke bazar berkenaan pada 3.30 petang itu diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menyambut ketibaan Seri Paduka Baginda berdua, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Dalam kunjungan kira-kira 30 minit itu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan membeli pelbagai juadah berbuka puasa selain beramah mesra bersama peniaga.

Seorang peniaga kuih tradisional Masnah binti Haidir, 46, tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja bersua dengan Baginda yang sempat singgah untuk membeli kuih tradisional.

“Ini kali pertama berniaga di Bazar Ramadan dan perasaan saya sungguh gembiralah berjumpa dengan Permaisuri buat kali pertama secara bersemuka.

“Antara kuih yang dibeli kuih jala manis  kuih jala lauk dan kuih penyaram.

“Kalau ada rezeki boleh singgah ke gerai kami lagi Tuanku,” ujarnya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.

Sementara itu bagi peniaga Nasi Ayam Penyet dari Kafe Pak Amit Najib Bujang, 42, bersua muka dengan Baginda YDPA itu ibarat mimpi jadi realiti.

Malah Najib menyifatkan Baginda seorang yang berjiwa rakyat kerana sudi menjejak kaki ke Bazar Ramadan sambil menyantuni para peniaga di Bazar Satok.

“Mulanya agak terkejut kerana saya tengah sibuk menyiapkan segala jenis barangan juadah.

“Nampak Baginda masuk dari pintu bazar dan singgah di gerai saya Baginda terus membeli nasi ayam penyet madu.

“Ini kali pertama bertentang mata dan melayani baginda sendiri, Baginda seorang yang berjiwa rakyat. Tambahan pula Sarawak selalu menjadi destinasi pilihan,” ujarnya.

Bagi peniaga kuih bongkol, Muhammad Azzahary Jawa, 39, sambutan pengunjung ke bazar ramadan Satok hari ini sangat luar biasa.

Lebih mengharukan apabila Baginda berdua singgah ke gerainya dan membeli 10 bungkus kuih bongkol yang sudah menjadi hidangan juada berbuka puasa.

“Seumur hidup saya tidak pernah berhadapan dengan Baginda YDPA.Perasaan sangat luar biasa.

“Saya berasa cukup teruja dan gembira kerana Baginda membeli 10 bungkus kuih bongkol dari gerai saya,"ujarnya.

Seri Paduka berdua yang dalam lawatan dua hari ke Sarawak bermula hari ini, dijangka menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Santapan Malam di Masjid Jamek Negeri di sini malam ini..

BACA: Yang Di-Pertuan Agong, Permaisuri berangkat tiba di Sarawak