PUTRAJAYA: Bermula 1 Mei ini, imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, bagaimanapun, kesemua individu yang mempunyai aplikasi berkenaan, disaran mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

Selain itu, Khairy berkata, individu dengan status “High Risk” pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis, dan pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premis.

“Aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO). Ia juga penting untuk membantu KKM dalam pencegahan dan kawalan COVID-19,” katanya lagi.

Khairy berkata demikian demikian ketika mengumumkan pelaksanaan protokol baharu, susulan keadaan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam, termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

BACA: Bermula 1 Mei, pelitup muka di luar bangunan, kawasan terbuka tidak lagi wajib - Khairy

BACA: Individu positif COVID-19 boleh dilepaskan dari HSO seawal hari keempat kuarantin - Khairy

Imbasan QR MySejahtera tidak diwajibkan, digalak aktifkan MySJ Trace


Dalam pada itu, beliau berkata, sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik, MySejahtera, sebagai aplikasi kesihatan awam akan ditambah baik dengan pengenalan ciri-ciri baharu.

Sebagai permulaan, Khairy berkata, fungsi yang sedia ada, iaitu Hotspot Tracker yang dahulunya digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19, kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit-penyakit seperti rabies (penyakit anjing gila); demam campak; penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); dan denggi.

“Saya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil peluang menggunakan fungsi yang ditambah baik ini terutamanya apabila hendak balik ke kampung, berhari raya ke rumah saudara mara atau pergi bercuti.

“Ini adalah langkah proaktif bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan yang berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit, terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi,” jelasnya lagi.

Khairy berkata, beliau amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit ini di kawasan kediaman masing-masing.

Selain itu, beliau turut mengumumkan masyarakat kini boleh bersalaman, dan kesemua protokol baharu yang beliau umumkan akan berkuatkuasa 1 Mei.