MELAKA: Kampung Jawa yang popular sebagai kawasan beli-belah barangan keperluan dan rumah sejak lebih 100 tahun lepas akan ditutup pada 31 Mei ini bagi memberi laluan kepada pembangunan projek baharu.

Walaupun beroperasi di lorong sempit, kawasan perniagaan 'legenda' yang menempatkan lebih 10 peniaga itu bukan sahaja dikenali dalam kalangan rakyat Melaka, malah juga luar negeri dan turut menjadi tumpuan ketika musim cuti umum untuk membeli barangan keperluan.

Penutupan kawasan perniagaan yang didirikan di tanah persendirian itu bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga terlibat yang kebanyakan mereka akan hilang mata pencarian, tetapi juga pelanggan tetap khususnya golongan B40 untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga murah.

Peniaga pakaian dan barangan keperluan haji serta umrah, Sulaiman Omar, 61, berkata beliau berniaga di Kampung Jawa hampir 46 tahun lepas dan mempunyai pelanggan tetap daripada pelbagai peringkat umur dan kaum.

"Sejak berusia 15 tahun saya berniaga di sini bermula membantu ayah di kedai ini dan peniaga di sini dimaklumkan perlu mengosongkan kedai masing-masing pada 31 Mei nanti.

"Kami amat runsing memikirkan nasib selepas ini...saya masih mempunyai dua lagi anak sedang bersekolah dan stok barangan masih banyak tetapi jika tidak jumpa kedai sewa pada harga berpatutan, saya terpaksa berhenti berniaga," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.



Sulaiman berkata beliau dan kumpulan peniaga di Kampung Jawa berkenaan terpaksa akur dengan arahan pemilik tanah, namun berharap kerajaan negeri dapat membantu mencari penempatan baharu untuk peniaga sedia ada meneruskan kelangsungan hidup.

Katanya selain berniaga untuk mencari pendapatan, perniagaan yang diusahakannya itu juga membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding di pasar raya atau pusat beli-belah lain.

Peniaga pakaian sekolah, Salamah Mohamed, 63, yang mengambil alih perniagaan arwah suaminya sejak 2002 turut berharap kerajaan dapat mewujudkan tapak perniagaan baharu di Kampung Jawa berhampiran lokasi sedia ada agar dapat terus mengekalkan kawasan warisan itu.

"Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu...kalau kerajaan negeri dapat buka Jonker Walk untuk peniaga Cina, Little India untuk peniaga India, jadi kekalkan Kampung Jawa ini di kawasan yang ada di sini.

"Peniaga hari ini berniaga di sini mewarisi perniagaan bermula daripada nenek moyang kami, bukan pendatang baharu dan bukan hanya peniaga Melayu di sini tetapi juga terdapat peniaga kaum lain," katanya.

Peniaga pakaian Koh Lian Neo, 70, yang mengambil alih perniagaan ibu mentuanya sejak 40 tahun lepas berkata Kampung Jawa bukan sahaja tempat beli-belah barangan keperluan tetapi juga tapak sejarah dan warisan bagi negeri Melaka.

"Kebanyakan orang mesti tahu atau kenal Kampung Jawa. Bukan sahaja orang Melaka tetapi juga luar negeri kerana kita jual barangan keperluan pada harga murah.

"Kalau boleh kerajaan tolonglah kekalkan Kampung Jawa, bukan untuk saya atau peniaga di sini tetapi untuk orang susah dan kurang berkemampuan," katanya yang masih berusaha mencari kedai baharu dengan kadar sewa berpatutan untuk meneruskan perniagaannya itu.

Seorang lagi peniaga pakaian Ng Kien Chiew, 55, berkata beliau bersyukur kerana masih diberi masa oleh pemilik tanah untuk berniaga hingga Mei ini tetapi sedih mengenangkan terpaksa berpindah dari tapak perniagaan itu yang telah diwarisi daripada bapanya lebih 30 tahun lepas.

"Pada awalnya notis pengosongan kedai di sini perlu dilakukan pada 28 Feb depan tetapi pemilik tanah memberi peluang hingga 31 Mei pula.

"Jadi masih ada masa berniaga untuk habiskan stok dan penduduk Melaka jangan lepaskan peluang membeli-belah sebelum kawasan ini ditutup," katanya.

-- BERNAMA