Tertekan setelah berpisah dengan isteri dan dipengaruhi rakan jadi alasan seorang duda anak dua terjebak dengan najis dadah.

Lelaki 39 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Husin dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kesang, Jasin pada Selasa.

Pekerja am itu ditahan dalam sekatan jalan raya operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi kerajaan.

Menurut Husin, dia berjinak dengan dadah sejak dua tahun lalu selepas berpisah dengan isterinya dan terpaksa berjauhan dengan anak-anaknya yang berusia 11 dan 13 tahun.

“Ya, ini kali pertama…saya jarang ambil benda tu. Saya tertekan (sejak) berpisah dengan orang rumah.

“Baru ni, baru setahun dua. Anak dua orang, 13 dan 11 tahun,” katanya.

Husin yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine, merupakan antara tiga lelaki dicekup dalam operasi itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah AADK Melaka, A. Reuben berkata kesemua yang ditangkap akan ditahan selama 24 di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Kita ada buat 34 saringan dan saringan awal menunjukkan positif tiga orang.

"Kami akan tahan 24 jam di pejabat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, kemudian kami akan mohon reman,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain AADK, operasi bersepadu itu turut membabitkan pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).