Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa Pejabat Pendakwa Raya dipisahkan daripada Pejabat Peguam Negara.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan pada Rabu berkata ia bagi mengelak rakyat keliru dan curiga dengan peranan Peguam Negara dalam sesebuah keputusan pendakwaan.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan keputusan Pejabat Peguam Negara yang menggugurkan pendakwaan terhadap kes rasuah dalam pembelian banglo di bawah harga pasaran membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada Isnin.

Pihaknya juga mendapati selepas keputusan itu, wujud kegelisahan dalam kalangan rakyat apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga terkejut dengan keputusan itu dan mendakwa tidak dibawa berbincang dalam proses itu.

Walaupun Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria telah menjelaskan keputusan berkenaan dibuat tanpa pembabitan Peguam Negara, ia jelas menimbulkan kerisauan sekali gus menunjukkan tiada penyelarasan di antara SPRM dan Pejabat Peguam Negara.

“Walaupun Bersih 2.0 mengalu-alukan kenyataan Mohamad Hanafiah yang dilihat menjadi titik permulaan ke arah pemisahan kuasa pendakwaan dari Peguam Negara, kes itu menunjukkan keperluan mendesak Pejabat Pendakwa Raya ditubuhkan dan dipisahkan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Ia bagi membuang rasa curiga rakyat terhadap peranan Peguam Negara yang bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada eksekutif, turut mempengaruhi keputusan sesuatu pendakwaan,” kata kenyataan itu hari ini.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin melepas dan membebaskan Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta ahli perniagaan, Phang Li Koon, daripada dakwaan bersubahat.