Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijemput menyertai perhimpunan Bersih 4.

Saranan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika ditemui di Dataran Merdeka pada hari kedua penganjuran perhimpunan itu pada Ahad.

Kata Tian Chua, perhimpunan Bersih 4 itu terbuka kepada semua rakyat dan pemimpin, tidak kira daripada UMNO atau Pakatan Rakyat.

"Saya tidak peduli siapa (pemimpin) yang akan turun, kerana saya rasa rakyat sudah berada di sini.

"Bersih 4 terbuka kepada semua pihak. Rakyat datang hari ini hadir ke perhimpunan ini kerana kesedaran mereka sendiri dan mereka mahukan perubahan. Melalui gerakan besar-besaran inilah mereka akan kecapi perubahan yang dimpikan bersama," katanya lagi.

BACA: [LAPORAN LANGSUNG] BERSIH 4: PERHIMPUNAN DI KUCHING DIHENTIKAN SERTA-MERTA


Beliau berkata demikian ketika menjawab ura-ura yang menyatakan Muhyiddin turut akan menghadiri perhimpunan Bersih 4 selepas kedatangan mengejut bekas perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Siti Hasmah Mohamad Ali pada Sabtu malam.

Dr Mahathir tiba di lokasi perhimpunan pada jam 7.15 malam dan beredar 25 minit selepas itu.

Jelas Tian Chua, kedatangan Dr Mahathir jelas menunjukkan Mahathir akur dengan perlunya gerakan rakyat secara besar-besaran bagi berdepan realiti kegagalan insitutisi yang dialami negara ini.

"Ianya menarik apabila Dr Mahathir datang. Akhirnya orang (Dr Mahathir) yang menentang demonstrasi, orang yang menentang gerakan besar-besaran, akhirnya datang untuk menyokong Bersih 4.

"Akhirnya, Dr Mahathir menerima realiti keperluan 'mass movement'," tambahnya.