KUALA LUMPUR : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) kesal dengan kerajaan kerana melepaskan beberapa peluang untuk melaksanakan tujuh reformasi yang mudah dalam tempoh 100 hari pentadbiran negara.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan menjelaskan, ia termasuk reformasi untuk meneruskan peruntukan pembangunan kawasan kepada Ahli Parlimen pembangkang walaupun dijanjikan dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Bersih melihat, tiada pemantauan Parlimen dan telus dalam pelantikan pegawai awam utama termasuk Peguam Negara, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"Malah, tiada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun yang merupakan kandungan memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri dan PH yang belum terlaksana," jelas kenyataan itu pada Sabtu.

Kenyataan itu turut menjelakan, tidak ada pembentangan RUU Pembiayaan Politik walaupun perkara itu telah diusahakan oleh empat kerajaan berturut-turut.

"Turut dilihat tiada pembentangan RUU Perkhidmatan Parlimen walaupun usaha ini dimulakan sejak daripada mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ariff Yusof.

"Tiada pemansuhan atau penyemakan semula oleh Jawatankuasa Parlimen bagi Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, Akta Cetakan dan Penerbitan 1984, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," jelas kenyataan itu.

Malah kenyataan itu menambah, tiada pembentukan Jawatankuasa Parlimen dibuat lebih daripada dua bulan selepas Parlimen ke-15 mengangkat sumpah.

"Justeru, Bersih menggesa Kerajaan dan Parlimen  melaksanakan tiga reformasi berikut dalam 100 hari akan datang.

"Bersih mahu pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan Jawatankuasa Tetap Parlimen (JTP) termasuk satu jawatankuasa untuk Pilihan Raya dan Demokrasi Berbilang Parti," jelas kenyataan itu.

Selain itu, Bersih juga mahu Akta Parlimen untuk memperuntukkan peruntukan pembangunan kawasan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen dan pengiktirafan dan pemerkasaan Kabinet Bayangan Perikatan Nasional (PN) dengan elaun, pegawai penyelidik dan akses maklumat.