KUALA LUMPUR: Beberapa pertubuhan masyarakat sivil (CSO) diketuai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa Perdana Menteri dan Peguam Negara (AG) memastikan tiada penggunaan kuasa budi bicara AG yang berniat untuk menghentikan sebarang perbicaraan mahkamah.

Ia susulan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) berkaitan dana Yayasan Akalbudi pada 4 Sept lalu.

Dalam satu kenyataan, CSO dan badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid merupakan contoh kuasa budi bicara AG Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, yang juga merupakan Pendakwa Raya (PR), di bawah undang-undang semasa.

"Selain kes Ahmad Zahid, terdapat beberapa lagi kes korupsi pada masa lalu yang melibatkan ahli politik atau individu yang berkaitan dengan mereka yang DNAA atau dibebaskan sepenuhnya.

"Perkara ini biasa terjadi selepas pertukaran kerajaan dan mesej yang sedang dihantar adalah ketakbersalahan seseorang adalah bergantung kepada kuasa yang dimilikinya. 

"Hal ini tidak boleh dibiarkan berterusan. AG tidak sepatutnya memegang jawatan PR dan reformasi untuk memisahkan PR daripada AG perlu dilaksanakan, agar jawatan PR benar-benar bebas daripada campur tangan politik," menurut kenyataan itu.

Selain itu, Bersih turut menyuarakan kebimbangan berkenaan perjalanan kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Ia menimbulkan persoalan sama ada kes-kes tersebut akan dilepaskan seperti apa yang dilakukan dalam kes Ahmad Zahid.

"Memandangkan AG adalah lantikan PM dan mempunyai kuasa yang luas untuk menarik semula kes jenayah seperti dalam kes DNAA Ahmad Zahid, kami dan rakyat Malaysia sangat khuatir perjalanan tiga lagi kes Najib bersabit 1MDB dan cukai pendapatan, serta kes RM1.7 juta oleh isteri beliau berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

"Adakah bekas PM dan isterinya akan dibebaskan sedemikian rupa daripada pendakwaan korupsi mereka dan adakah dalam kes Najib, akan membuka jalan kepada pengampunan beliau dalam kes SRC?

"Sekiranya Najib dan Rosmah boleh dibebaskan, seolah-olah mereka adalah mangsa pendakwaan terpilih selepas jenayah skandal 1MDB yang menyebabkan kewangan negara hampir roboh," ujarnya lagi.

Selain itu, Bersih serta CSO dan NGO dalam kenyataan itu menuntut empat perkara daripada Perdana Menteri dan AG, iaitu:

1. Moratarium terhadap sebarang permohonan oleh AG bagi DNAA untuk semua kes berprofil tinggi;

2. Mempercepatkan pemisahan tugas AG dan PR pada penghujung 2024;

3. Membuka atau mendakwa semula kes DNAA ahli politik yang dituduh terlibat dengan penyewelengan dan rasuah;

4. Tidak menarik semula mana-mana kes dengan menggunakan alasan kesalahan pembuktian dan teknikal.

Katanya, empat tuntutan ini perlu bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik serta memastikan kerajaan bersih yang akan membasmi rasuah di negara ini.

Kenyataan itu ditandatangani 49 badan termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Aliran Kesedaran Negara, All Women's Action Society Malaysia, Suara Rakyat Malaysia, The National Human Rights Society dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi.