MALAYSIA
Bersih, lima CSO lain tolak dakwaan akan sertai Himpunan Turun Anwar

Kumpulan CSO berkenaan menolak dakwaan mereka akan terlibat dalam perhimpunan tersebut, selain menolak pertukaran kerajaan yang mahu dilakukan pada pertengahan penggal.
KUALA LUMPUR: Perjumpaan antara beberapa pertubuhan masyarakat (CSO) dengan pemimpin Perikatan Nasional, pada 1 Julai lepas, khususnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin bukan bermaksud mereka menyokong agenda pembangkang.
Sebaliknya kumpulan CSO berkenaan berkata, mereka sendiri dijemput untuk mengadakan perbincangan bersama Hamzah dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang lain di pejabat beliau.
Pertemuan tersebut, jelas mereka lagi, adalah peluang terbaik untuk mengajukan cadangan-cadangan reformasi institusi yang penting agar diangkat oleh Perikatan Nasional, khususnya Ketua Pembangkang.
“Kami percaya negara memerlukan satu reformasi institusi yang menyeluruh, kukuh dan bermakna untuk kita sebagai sebuah masyarakat dapat bergerak ke hadapan dengan sistem politik dan keadilan yang lebih baik.“Reformasi institusi adalah benteng untuk rakyat menyemak imbang kerajaan dan para penguasa agar tidak menyalahgunakan institusi dan kuasa yang diturunkan kepada mereka demi kepentingan politik dan peribadi.
“Atas premis ini, kami sedia malah telahpun berjumpa, berbincang dan berforum dengan Ahli-Ahli Parlimen merentas parti politik bagi mendesak agenda reformasi ini dilaksanakan oleh Kerajaan Madani. Perlu ditegaskan setiap libat urus harus berasaskan kepada iltizam bersama untuk membawa perubahan serta nilai kebersamaan, ketelusan dan kejujuran,” kata kumpulan berkenaan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Bersih, C4 Center, IDEAS, Projek Sama, Pusat Komas, dan Transparency International.
Pada Khamis, Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dalam sidang media di Bangunan Parlimen mendakwa pelbagai pihak telah bertemu dengan mereka untuk berkongsi rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.
Memetik laporan Malaysiakini, Hamzah berkata, susulan rasa tidak puas hati tersebut, kumpulan CSO berkenaan seolah-olah memberi bayangan mahu turut serta dalam Himpunan Turun Anwar pada Sabtu.
Bagaimanapun kumpulan CSO berkenaan menolak dakwaan mereka akan terlibat dalam perhimpunan tersebut, selain menolak pertukaran kerajaan yang mahu dilakukan pada pertengahan penggal.
“Reformasi institusi akan terbunuh sekiranya politik negara tidak stabil. Disebabkan tiada pihak yang sentiasa menang, reformasi institusi menguntungkan semua parti dalam persaingan jangka panjang dan seharusnya didukung oleh semua parti.
“Atas dasar ini, kami menolak perubahan kerajaan pada pertengahan penggal melalui pintu belakang seperti Langkah Sheraton yang mengucar-ngacirkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19.
“Jikalau ada pertukaran kerajaan, kerajaan seterusnya belum tentu ada komitmen yang jelas dan bersungguh untuk melakukan reformasi institusi, atau terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna,” katanya lagi.
Kumpulan CSO berkenaan berkata, mereka ingin melihat pelaksanaan reformasi institusi yang dapat menyediakan gelanggang yang sama rata untuk semua parti dalam Pilihan Raya Umum ke-16.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami