SHAH ALAM: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menghantar permohonan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus kepada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan perhimpunan tersebut.

“Penyerahan memorandum adalah amalan biasa dalam negara demokrasi, termasuk Malaysia. Sebelum ini, PDRM telah membantu dalam memudahkan proses tersebut walaupun tanpa memberikan notis.

“Apa yang mengejutkan kami ialah kenyataan ini berada di bawah kerajaan reformis.

“Seperti yang dirancang, kami berhasrat untuk menyampaikan notis tersebut kepada IPD Dang Wangi sekitar jam 1 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan, polis belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran Perhimpunan Tuntut Reformasi 100 Peratus di Parlimen.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, himpunan tanpa pemberitahuan adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan berkenaan yang dijadualkan pada Selasa di Plaza Tugu Negara kerana ia tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal memaklumkan bahawa berhimpun secara aman tertakluk di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Peranan kerajaan dan PDRM adalah untuk memastikan rakyat dapat melaksanakan hak perlembagaan kita dengan bebas dan aman.

“Tiada sekatan yang dikenakan kerajaan terhadap acara yang dijadualkan esok,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, matlamat akhir perhimpunan itu untuk mendesak kerajaan menunaikan janji mereka dan melaksanakan 100 peratus pembaharuan.

Jelasnya, penting untuk kerajaan menunjukkan komitmen dengan menyediakan hala tuju dan garis masa jelas yang menggariskan reformasi pilihan raya dan institusi.

“Kami akan memberikan maklumat terkini di saluran media sosial Bersih nanti berhubung perkara ini,” katanya. - Sinar Harian