Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bebas daripada perang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata keamanan dan keharmonian yang dinikmati disebalik perbezaan agama dan kebudayaan di negara ini hanya dapat dicapai menerusi teras keadilan sosial, saling menghormati dan harapan untuk masa depan lebih baik.

"Tidak seperti di negara-negara tertentu, kita dapat melihat kemusnahan terhadap kehidupan manusia dan keruntuhan negara. Bagi rakyat terbabit, keamanan hanyalah satu ilusi dan tidak nampak sebarang penyelesaian," katanya kepada pemberita selepas melepaskan program larian untuk keamanan "Run For Peace 2015', di Stadium MBPJ di Kelana Jaya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah semua itu kerana jelas elemen kebencian dan perpecahan semakin tersebar dalam kalangan penduduk terutamanya di Semenanjung.

Memberikan contoh perhimpunan Bersih 4 dan 'Himpunan Rakyat Bersatu', beliau berkata kedua-dua perhimpunan tidak dianjurkan dengan cara yang betul dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian negara.

"Bagi perhimpunan baju kuning (Bersih 4) saya tiada masalah dengannya, tetapi selain berdemonstrasi untuk ekonomi, keadilan dan pilihan raya adil, mereka meminta Perdana Menteri meletak jawatan. Jadi ini merupakan masalah kerana mereka mesti tahu bahawa perdana menteri dipilih menerusi pilihan raya umum.

"Bagi perhimpunan baju merah (Himpunan Rakyat Bersatu), walaupun ia perhimpunan yang sah, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab yang telah menimbulkan isu berbaur perkauman menerusi ucapan dan poster mereka," katanya.

Oleh itu, Low berkata kalangan pemimpin dalam demonstrasi atau perhimpunan tidak harus memimpin dengan elemen kepentingan diri seperti ketaksuban agama dan tiada toleransi etnik.

Acara 'Run For Peace 2015' yang dianjurkan Soka Gakkai Malaysia, sebuah pertubuhan yang berteraskan keamanan, disertai 20,000 peserta dan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada orang ramai agar mementingkan keamanan dalam masyarakat.

Larian sejauh lapan kilometer itu menghimpunkan sebanyak 70,000 peserta lagi di 19 lokasi di seluruh negara termasuk Terengganu, Sabah dan Sarawak, yang telah diadakan sejak 6 Sept sehingga hari ini tanpa melibatkan sebarang pemberian pingat atau kategori.