KUALA LUMPUR:Semua pihak perlu membezakan penglibatan kerajaan dari segi ekonomi dan perniagaan, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bekas Menteri Kewangan Kedua itu menegaskan, kerajaan tidak boleh lari daripada terlibat dengan dasar-dasar ekonomi negara kerana ia melibatkan dasar dan polisi kerajaan itu sendiri.

Namun jelasnya, kerajaan juga boleh terlibat dengan perniagaan di dalam bidang yang tidak mampu dilakukan oleh sektor swasta.

"Itu adalah asas sesebuah negara, apabila dia menjadi kerajaan, dasar ekonomi mesti ditentukan arahnya oleh kerajaan.

"Contoh kalau kita hendak menjadi negara industri, kita hendak menjadi negara pertanian, kita hendak menjadi negara industri ICT. Ini semua adalah melibatkan dasar ekonomi, eksport, import dari segi penumpuan khusus sesuatu industri.

"Itu dasar dan ekonomi, yang itu tidak boleh dipisahkan dari kerajaan, kerana kita perlu kerajaan untuk terlibat dari segi dasar-dasar ekonomi yang boleh membantu perniagaan.

"Jadi kalau dalam konteks perniagaan pula, berbeza, pernigaan ini yang kita hendak laksanakan dasar-dasar ekonomi ini melalui perniagaan. Perniagaan inilah yang melahirkan pekerjaan, keuntungan dan bila untung, jadi kerajaan dapat cukai, dapat bayaran SST, kalau dahulu GST. Ia dapat mencipta peluang pekerjaan, jadi kerajaan mendapat pendapatan daripada hasil cukai," katanya semasa dihubungi di sini, pada Ahad.



Namun jelasnya, masalah akan timbul jika kerajaan turut serta dalam membuat dasar dan polisi serta perniagaan yang bersaing dengan sektor awam.

Dalam pada itu kata Johari, setiap langkah spesifik kerajaan membuat keputusan dalam pentadbiran sesuatu syarikat dikuasai akan memberi pengaruh besar kepada pelabur.

Ujarnya, kerajaan juga perlu melihat semula kedudukan syarikat berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan melibatkan dasar dan polisi.

"Pelabur datang negara kita, bila dia melabur berdasarkan polisi dan dasar ekonomi kita.

"Kemudian dia tengok kestabilan politik, bila dia tengok stabil, kemudian dia datang melabur, jadi bila dia datang melabur, dia ambil masa untuk untung.

"Tetapi bila dia sudah untung, dia tengok 'game' bertukar, itu yang kadang-kadang banyak pelabur-pelabur yang takut datang sini.

"Jadi kita kena jelas, pendirian di antara kerajaan dan sektor swasta ini kena benar-benar jelas.

"Kalau kita bertindih kepada industri yang kita turut serta membuat keputusan bagi pihak orang lain, ia mungkin akan menyebabkan gangguan dari segi proses sesuatu perniagaan itu berlaku," katanya.