Kerajaan pada Selasa disaran menimbangkan sama ada perlu terus membantu Malaysia Airlines (MAS) untuk beroperasi atau membiarkan syarikat penerbangan negara itu 'terbang dengan sendiri'.

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat tidak perlu bagi kerajaan terus membelanjakan wang rakyat bagi 'menghidupkan' MAS tanpa mendapat hasil pulangan yang positif dan berkekalan.

"Sekarang ini sudah berapa tahun kita support MAS, walaupun MAS adalah syarikat yang disenaraikan (di Bursa Malaysia) dan tiada duit kerajaan yang digunakan, tapi pelabur utamanya adalah Khazanah dan Khazanah itu wang pokoknya datang daripada kerajaan juga," katanya.

Nur Jazlan mengulas perancangan Khazanah Nasional Bhd untuk mengemukakan pelan menyelamatkan MAS dalam tempoh setahun.

Rancangan itu diumumkan Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar pada Selasa.

Khazanah Nasional merupakan syarikat pemegangan pelaburan milik kerajaan dan ia memiliki saham terbesar dalam MAS.

"Saya sudah cakap dulu, MAS ini dilindungi oleh Dasar Penerbangan Negara, sebab itu kerajaan boleh menyalurkan dana kepada syarikat ini kerana ia menepati dasar kerajaan.

"Tapi sekarang ini bila ada Dasar Langit Terbuka dan ada syarikat penerbangan tambang murah, dasar kerajaan itu (Dasar Penerbangan Negara) sudah tidak sesuai..." kata Nur Jazlan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, di sini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pulai bagaimanapun berharap, perancangan atau penstrukturan semula yang hendak diperkenalkan Khazanah Nasional kali ini akan berjaya mencari penyelesaian positif dan menghidupkan kembali MAS.

Pada pertengahan bulan lalu, MAS mengumumkan kerugian sebanyak RM443 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac, 2014, meningkat dari RM279 juta dalam suku sama tahun lalu.