KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Kesihatan (PSSC) yang beliau pengerusikan, kecewa dengan penarikan balik klausa Generasi Penamat (GEG) dari Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2023.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, pengguguran klausa berkaitan GEG akan menyukarkan pengurangan kadar aktiviti merokok Malaysia daripada 21% kepada bawah 5% menjelang 2045.

"Sudah tentu ia sangat mengecewakan, bukan sahaja kepada kami, tetapi ramai ahli Parlimen, orang awam, khususnya pengamal perubatan."

"PSSC Kesihatan telah mengadakan 13 mesyuarat dengan pihak berkepentingan, termasuk pakar dari 13 buah universiti awam dan swasta, untuk menyemak RUU versi Jun selepas ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama," katanya sewaktu membahaskan RUU tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu Dr Dzul turut menjawab hujah Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bahawa GEG melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana layanan berbeza di hadapan undang-undang antara mereka yang lahir sebelum, pada dan selepas 1 Januari 2007.

"Saya ingin mengingatkan Peguam Negara Malaysia bahawa kerajaan boleh mendiskriminasi umur asalkan klasifikasi atau pembezaan itu rasional, dan mempunyai hubungan yang munasabah dengan objektif yang ingin dicapai, dan ia adalah kriteria yang dibenarkan dan rasional untuk klasifikasi pelbagai undang-undang.

"Seperti kelayakan untuk mengundi, hak untuk bertanding dalam pilihan raya, perkahwinan, umur persetujuan untuk melakukan hubungan seks, umur di bawah yang tiada liabiliti jenayah, prosedur mahkamah khas untuk juvana, dan larangan penjualan dan pembelian minuman beralkohol dan rokok oleh golongan bawah umur," tegasnya lagi.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata, Ahli-ahli Parlimen bagaimanapun mesti melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyokong RUU itu, kerana ia merupakan akta yang spesifik dan berdiri sendiri untuk kawalan merokok.

"Ini adalah kali pertama undang-undang kendiri digubal untuk benar-benar mengawal dan mengawal, bukan sahaja rokok, tetapi bahan lain yang dianggap sebagai produk tembakau, bahan penghisap rokok, dan produk tembakau pengganti, yang termasuk rokok elektronik dan vape.

"Ia termasuk penggubalan terhadap pendaftaran, pengiklanan, pembungkusan, jual beli, penggunaan, merokok, mengunyah dan lain-lain bagi mengawal rapi kawal selia vape dan produk tembakau yang berlebihan dan berleluasa hari ini," katanya lagi.

Dr Dzulkefly turut memetik Kaedah Usul Fiqh - "Apa-apa perintah syura yang tidak boleh dilakukan kesemuanya, maka jangan pula ia ditinggalkan semua".