Dua ekor biawak sungai gergasi dengan berat 20 kilogram antara 642 haiwan yang terselamat dari menjadi hidangan penggemar makanan eksotik apabila dirampas pasukan Polis Marin Wilayah 3 dalam Op Khazanah, petang Jumaat.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, operasi yang diketuai Asisten Superintendan Nik Ali Nik Mat turut merampas 100 ekor musang, 220 ekor kura-kura besar, 253 ekor kura-kura kecil, 43 ekor labi-labi dan 26 ekor biawak di sebuah belukar terpencil di Kampung Air Tawar, Tok Bali, di sini dipercayai untuk diseludup ke negara Vietnam bagi memenuhi permintaan penggemar makanan pelik itu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayan Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan membabitkan nilai harga tempatan RM241,840.00 selain turut merampas sebuah Proton Iswara Aeroback berwarna kelabu dan alat penimbang.



Katanya, ketika serbuan dilakukan, empat suspek iaitu seorang lelaki berbangsa Cina berusia 40 tahun dan tiga lelaki warga Vietnam berusia antara 18 hingga 44 tahun sedang asyik mengangkut haiwan berkenaan ke kereta dipercayai untuk menyeludup keluar haiwan itu ke negara jiran dengan menggunakan jalan laut.

"Kita percaya mereka telah menjadikan belukar tersorok itu sebagai tempat pengumpulan haiwan sejak dua minggu lalu dan membeli haiwan eksotik daripada beberapa negeri termasuk Kelantan, Pahang dan Perak.

"Cuma kita masih siasat dari mana sumber mereka peroleh kerana jika dilihat haiwan yang ditangkap bersaiz luar biasa besar seperti biawak dan kura-kura yang bukan datang dari kampung-kampung sebaliknya hutan besar," katanya ketika ditemui di sidang media di Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Tok Bali, di sini, hari ini.



Norzaid berkata, pihaknya juga percaya aktiviti penyeludupan itu didalangi taukeh tertentu bagi memenuhi pasaran permintaan makanan eksotik di luar negara yang berharga tinggi.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari bermula semalam dan ditahan atas kesalahan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Kita minta kerjasama orang awam, maklumkan jika ada maklumat tentang aktiviti sebegini bagi kita ambil tindakan segera dan haiwan eksotik yang dirampas hari ini kita akan serah kepada Jabatan Hidupan Liar (PERHILITAN) Negeri Kelantan.